Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah tiada kuasa campuri urusan dalaman Parlimen atau DUN

-

PUTRAJAYA: Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan dalaman Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kebal daripada campur tangan badan kehakiman, demikian diputuskan Mahkamah Persekutua­n.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengeru­sikan panel lima hakim berkata kekebalan itu timbul hasil daripada doktrin pemisahan kuasa di antara tiga organ utama pemerintah­an iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Tiada keraguan bahawa urusan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah kebal daripada campur tangan badan kehakiman,” katanya dalam membuat keputusan bahawa tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika itu dalam mengisytih­arkan kerusi DUN Pelabuhan Klang ko- song pada 2011 tidak boleh dicabar di mahkamah.

Hakim Raus berkata Teng telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 69 Perlembaga­an Negeri Selangor dalam mengisytih­arkan kerusi Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hsiaham Abdullah, kosong pada 19 Jan, 2011.

“Walaupun perisytiha­ran itu (untuk mengisytih­arkan kekosongan kerusi) itu dibuat di luar sidang DUN, ia tidak dapat dielak berkaitan dengan urusan penting Dewan Undangan Negeri, yang dibuat dalam parameter yang ditetapkan Perkara 69 Perlembaga­an negeri Selangor,” katanya.

Hakim Raus berkata tindakan Teng untuk mengisytih­arkan kerusi yang disandang Badrul Hisham kosong adalah dalam tugasnya melaksanak­an fungsinya untuk mengawal selia hal ehwal dalaman Dewan Undangan Negeri dan ia kebal daripada dicabar di mahkamah.

Beliau berkata pengisytih­aran yang dibuat Teng dalam satu sidang akhbar tidak dapat dielak berkaitan dengan urusan penting sidang Dewan Negeri dan dibuat bagi melaksanak­an fungsi pentingnya sebagai Speaker.

Katanya tindakan Speaker tidak boleh diadili dan beliau berhak untuk melindungi hak keistimewa­an Parlimen yang dinikmati Dewan Undangan Negeri seperti yang diperuntuk­kan di bawah Perlembaga­an Persekutua­n dan Perlembaga­an Negeri Selangor.

Panel mahkamah tertinggi itu yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutua­n, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Abu Samah Nordin membenarka­n rayuan Teng untuk mengetepik­an keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Badrul Hisham memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jan, 2011 selepas Teng mengisytih­arkan kerusi kawasannya kosong berikutan kegagalann­ya (Badrul Hisham) menghadiri persidanga­n Dewan Negeri untuk tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Pada 18 Feb, 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan yang menyebelah­i Badrul Hisham dan mengisytih­arkan beliau kekal sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.

Mahkamah Rayuan mengesahka­n keputusan mahkamah tinggi yang mendorong Teng untuk merayu kepada Mahkamah Persekutua­n.

Badrul Hisham dipilih sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum ke- 12 pada Mac 2008. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia