Utusan Borneo (Sarawak)

Tokoh kemerdekaa­n lahirkan Kampung Tun Sambanthan

-

KUALA LUMPUR: Setiap kali 31 Ogos tiba, nama Tun V. T. Sambanthan, tokoh yang berperanan besar dalam memperjuan­gkan kemerdekaa­n dan menyatukan masyarakat majmuk di negara ini pasti bermain di bibir rakyat.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2017 pada Khamis yang mengimbas kembali nostalgia 1957, nama pemimpin masyarakat India ini menjadi antara sebutan banyak pihak termasuk penduduk Kampung Tun Sambanthan di Ayer Tawar, Perak.

Terletak 14 kilometer dari pekan Sitiawan, nama kampung itu mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana ia berlatarbe­lakangkan nama tokoh kemerdekaa­n, mendiang Tun V.T. Sambanthan atau nama sebenarnya Veerasamy Thirunyana­sambanthan.

Mempunyai hampir 98 peratus masyarakat India, Kampung Tun Sambanthan wujud kira-kira 45 tahun dengan jumlah pendudukny­a kini lebih 700 orang di samping sebuah keluarga India Muslim dan dua keluarga Cina.

Ketua kampung itu, A. Jeganathan, yang merupakan anak jati Ayer Tawar berkata empat dekad dahulu, Sambanthan mengagihka­n sebahagian lot tanah Estet Ulu Ayer Tawar, sebuah estet ladang getah, melalui syer koperasi Persatuan Koperasi Kewangan dan Tanah Kebangsaan (NLFCS) kepada penduduk setempat.

“Daripada lebih 242.8 hektar tanah estet, sebanyak 26.3 hektar dibeli dan diagihkan kepada 220 lot (suku ekar setiap lot) dan lahirlah Kampung Tun Sambanthan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jeganathan, 51, berkata tujuan asal pengagihan lot itu adalah bagi membantu masyarakat India meningkatk­an taraf hidup melalui aktiviti perladanga­n, namun apabila skim perumahan diperkenal­kan, rata- rata memilih untuk membina rumah atas lot berkenaan di samping menjalanka­n aktiviti pertanian.

“Komuniti di sini sentiasa mengingati jasa Tun Sambanthan yang mencetuska­n idea mewujudkan kampung ini dan membantu masyarakat India mempunyai aset masing-masing,” katanya.

Sependapat dengan Jeganathan, seorang peladang di Kampung Kinta Valley, Batu Gajah, Perak, B. Kaneapa, 66, berkata sumbangan presiden kelima MIC itu kepada komuniti India amat besar.

“Saya masih ingat ketika berumur 13 tahun, Tun Sambanthan datang ke Batu Gajah dan dalam satu perhimpuna­n khas yang diadakan pada masa itu, beliau berjanji akan membeli dan mengagihka­n tanah daripada estet milik orang Inggeris kepada penduduk di sana melalui syer NLFCS.

“Beliau mengotakan janji tersebut...29.1 hektar daripada estet itu diagihkan dan menjadi hak milik generasi yang seusia ibu bapa saya pada ketika itu,” katanya.

Kaneapa, yang bermastaut­in di Batu Gajah bersama anggota keluargany­a, berkata ada yang membina rumah di tanah diagihkan manakala sebahagian lagi menanam pokok kelapa sawit sebagai kelangsung­an hidup.

Jika anak muda kini lebih mengenali Sambanthan sebagai tokoh kemerdekaa­n sebaris dengan Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Tan Cheng Lock, masyarakat India di luar bandar pula mengenali beliau sebagai tokoh pembanguna­n komuniti India.

Mereka mungkin masih ketinggala­n jauh di belakang jika tiada penglibata­n tokoh itu dalam membangunk­an ekonomi dan taraf hidup mereka, kata Kaneapa.

Kematian Sambanthan pada 18 Mei 1979 ketika berusia 60 tahun akibat penyakit jantung merupakan kehilangan besar kepada negara dan masyarakat India khususnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia