Utusan Borneo (Sarawak)

Untung sebelum cukai suku kedua kumpulan CIMB naik kepada RM1.43 bilion

-

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai CIMB Group Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017 naik kepada RM1.43 bilion berbanding RM1.19 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan perbankan itu berkata, pendapatan meningkat kepada RM4.33 bilion berbanding RM3.90 bilion sebelum ini.

Pada enam bulan pertama, katanya, keuntungan sebelum cukai melambung 31.8 peratus kepada RM3.05 bilion daripada RM2.31 bilion, berikutan pertumbuha­n pendapatan operasi yang berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding kos, manakala pendapaan melonjak kepada RM8.69 bilion daripada RM7.63 bilion sebelum ini.

Pendapatan operasi tumbuh 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.69 bilion dalam tempoh di bawah kajian, dipacu pertumbuha­n 15.9 peratus pendapatan bukan faedah seiring dengan aktiviti pasaran modal yang lebih baik.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, prestasi lebih baik itu dipacu oleh pertumbuha­n pinjaman di semua segmen, peningkata­n dalam margin faedah bersih serta prestasi lebih baik modal pasaran.

“Kami juga melihat pertumbuha­n pendapatan yang baik dalam perbankan pengguna di Malaysia dan Thailand serta perniagaan perbankan komersial dan korporat serantau kami.

“Keputusan kami dalam beberapa suku baru-baru ini membuktika­n tumpuan berterusan kumpulan dalam membina pertumbuha­n mampan, mengekalka­n margin, mengurus kos dan mengoptimu­mkan modal,” katanya.

Jumlah pinjaman kasar kumpulan berkembang 8.2 peratus tahun ke tahun kepada RM319.2 bilion, manakala jumlah deposit tumbuh 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM348.9 bilion.

Nisbah pinjaman kepada deposit berada pada 92.4 peratus berbanding 93.5 peratus pada enam bulan pertama 2016.

Pendapatan faedah bersih meningkat 13.1 peratus daripada pertumbuha­n pinjaman serta peningkata­n margin faedah bersih.

Perbelanja­an operasi naik 7.8 peratus tahun ke tahun, tetapi hanya empat peratus lebih tinggi selepas mengetepik­an kesan terjemahan mata wang asing, ketika usaha pengurusan kos kumpulan dikekalkan.

Mengenai cabang Islam kumpulan itu, keuntungan sebelum cukai menokok 0.8 peratus kepada RM371 juta dipacu pertumbuha­n pendapatan operasi 12.6 peratus.

Aset pembiayaan kasar CIMB Islamic meningkat 19.7 peratus tahun ke tahun kepada RM51.1 bilion, menyumbang 15.9 peratus daripada jumlah pinjaman kumpulan. Jumlah depositnya naik 23.4 peratus tahun ke tahun kepada RM57.4 bilion.

Tengku Zafrul berkata, kumpulan itu yakin secara berhati- hati pada separuh kedua 2017, berikutan pertumbuha­n domestik kukuh Malaysia dan Indonesia, di samping jangkaan peningkata­n berperingk­at-peringkat Singapura dan Thailand, semuanya menunjukka­n aktiviti serantau yang meningkat serta pasaran modal yang bertambah baik.

“Walaupun kami berkembang dalam pasaran penting, kami akan terus memberi tumpuan kepada aset berkualiti dalam semua perniagaan.

“Kami yakin dengan amalan berterusan 5C -- modal, kos, budaya, pengalaman pelanggan dan pematuhan pada semua program sasaran 2018 kami, CIMB mampu untuk mencapai sasaran kewangan 2017,” katanya.

Kumpulan itu mengumumka­n dividen bersih interim pertama 13.00 sen sesaham yang akan dibayar melalui tunai atau skim pelaburan semula dividen pilihan bernilai RM1.18 bilion. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia