Utusan Borneo (Sarawak)

215 DITAHAN DISYAKI TERLIBAT JUDI HARAM SEPANJANG OGOS

-

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menahan 215 individu berumur antara 15 dan 65 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, penangkapa­n berkenaan melibatkan 92 serbuan berkaitan perjudian haram di seluruh negeri sepanjang Ogos 2017.

“Daripada 215 individu yang ditangkap, 158 daripadany­a adalah lelaki dan mereka berumur antara 15 dan 65 tahun manakala 12 daripada mereka adalah warga asing.

“Tujuh puluh empat serbuan dilakukan melibatkan loteri haram, 12 serbuan berkaitan perjudian siber, dua serbuan sabung ayam dan empat lagi perjudian di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Menurut Dev, seramai 93 individu ditahan dalam serbuan di premis menjual loteri haram di beberapa daerah di negeri ini serta sitaan sebanyak RM22,444.18 dengan 18 serbuan dilakukan di daerah Kuching, sembilan di Padawan dan lapan di Miri.

“Kita berjaya merampas beberapa peralatan termasuk telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan serta pelbagai alat tulis.

“Selain serbuan perjudian loteri, serbuan ke atas premis yang disyaki sebagai kedai perjudian siber berjaya menangkap 79 individu serta menyita 108 komputer dan tablet,” menurutnya.

Dev berkata, serbuan juga merampas wang tunai bernilai RM3,672 dari kaunter premis yang terlibat di mana enam serbuan dilakukan di daerah Miri, tiga di Sri Aman, dua di Kuching dan satu di Lubok Antu.

Tambahnya bagi tangkapan aktiviti sabung ayam, dua serbuan dilakukan iaitu di Miri dan Sibu dengan menyaksika­n 23 individu ditahan selain merampas alatan digunakan termasuk ayam hidup dan mati.

Sementara bagi perjudian di tempat awam yang melibatkan daerah Kuching, Sibu, Miri dan Dalat, seramai 20 individu ditangkap, ujarnya.

“Tiga puluh dua serbuan dilakukan di kedai-kedai, 24 di tempat awam termasuk jalan kaki lima, 19 kedai kopi dan restoran, 12 kedai runcit dan lima kedai menjual telefon bimbit,” kata Dev.

Berhubung pusat hiburan keluarga (PHK), beliau menegaskan semua PHK yang sebelum ini mengendali­kan mesin ikan dan slot telah ditutup selama beberapa bulan.

 ??  ?? TANGKAP: Antara yang ditahan dalam serbuan di gelanggang sabung ayam.
TANGKAP: Antara yang ditahan dalam serbuan di gelanggang sabung ayam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia