Utusan Borneo (Sarawak)

Pengusaha pengangkut­an awam digesa ambil langkah cegah denggi

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memohon kerjasama semua pengusaha kenderaan awam seperti bas dan bot ekspres untuk mengambil langkah pencegahan denggi termasuk membuat semburan aerosol setengah jam sebelum penumpang menaiki kenderaan mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, ia bertujuan membunuh nyamuk aedes dewasa yang mungkin berada di dalam kenderaan dan seterusnya dapat mengelak penyebaran virus denggi di kalangan penumpang sepanjang perjalanan.

“Dalam tempoh bercuti berlaku pergerakan orang ramai secara meluas semasa cuti yang juga boleh menyebabka­n jangkitan demam denggi lebih cepat merebak jika terdapat nyamuk aedes di persekitar­an mereka.

“Kita memohon kerjasama semua pengusaha kenderaan awam seperti bas dan bot ekspres untuk melakukan semburan aerosol setengah jam sebelum penumpang menaiki kenderaan mereka,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Dr Jamilah berkata, bagi mengesan kes denggi lebih awal, setiap individu yang mengalami simptom demam, sakit badan, sakit sendi, muntah atau sakit kepala dinasihati untuk segera mendapatka­n rawatan di klinik atau hospital berhampira­n.

“Pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamat­kan nyawa dan mencegah komplikasi demam denggi,” katanya.

Beliau memaklumka­n jabatan turut menasihati orang ramai di negeri ini sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap penularan wabak rabies walaupun ia masih di peringkat terkawal.

“Setiap orang terutama yang berkunjung ke tempat yang masih diisytihar sebagai kawasan wabak, perlulah sentiasa menghindar­i daripada gigitan haiwan terutamany­a anjing,” katanya.

Sebaiknya, elakkan diri daripada mengganggu haiwan supaya tidak digigit atau dicakar.

Bagaimanap­un, ujarnya, sekiranya digigit, langkah segera perlulah diambil dengan mencuci luka bahagian yang terkena gigitan menggunaka­n sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit sebelum bertindak segera mendapatka­n rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

 ??  ?? DR JAMILAH
DR JAMILAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia