Utusan Borneo (Sarawak)

Kanak-kanak bangga lahir 31 Ogos

-

MELAKA: Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan dua kanak- kanak Muhammad Afiq Aisy Muhd Rashid, 10, dan Airisnur Syifaa’durratul Dhia Alimshah, 5, bangga berkongsi hari bersejarah itu dengan tarikh mereka dilahirkan iaitu 31 Ogos.

Muhammad Afiq Aisy, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru berkata dia hanya mengetahui dirinya lahir pada hari negara ini diumumkan merdeka semasa berumur tujuh tahun.

“Saya mula mengetahui betapa bertuahnya lahir pada 31 Ogos ketika tahun satu apabila dimaklumka­n oleh cikgu yang mengajar ketika itu.

“Bermula dari situ, saya berasa amat bersyukur dan bangga kerana dilahirkan pada hari bersejarah negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Sambutan Anak Merdeka 2017 di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Bandar Hilir di sini kelmarin.

Majlis anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang meraikan 18 anak Melaka yang dilahirkan pada 31 Ogos itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, isterinya Datin Seri Fadillah Abdullah dan Pengurus Besar PERZIM Datuk Khamis Abas.

Muhammad Afiq Aisy yang lahir di Hospital Melaka berkata seawal 6 pagi beliau sudah bangun dan memakai baju Melayu beserta songkok yang dijahit oleh ibunya dengan menggunaka­n Jalur Gemilang.

“Ini kali pertama saya menyertai program ini dan berasa gembira kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan dari seluruh Melaka yang berkongsi tarikh lahir sama,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Turut berkongsi semangat sama, Hafizah Mohd Noh, 33, seorang penjawat awam berkata beliau sanggup memandu sejauh 80 kilometer pergi dan balik dari rumahnya di Jasin ke Bandar Hilir untuk meraikan hari lahir anaknya Airisnur Syifaa’durratul Dhia dan Hari Kemerdekaa­n.

“Peluang ini saya tidak akan lepaskan kerana dua sambutan ini hanya diraikan setahun sekali dan dalam masa sama saya dapat mendidik anak saya sejak kecil agar memahami dan menghargai erti kemerdekaa­n,” kata ibu tiga anak itu.

Airisnur Syifaa’durratul Dhia, murid Tadika Kemas Kesang Jaya, Jasin berkata beliau sangat teruja apabila dipakaikan gaun yang diperbuat dari Jalur Gemilang dan dijahit oleh ibunya sendiri.

Sementara itu, Khamis berkata program tahunan tersebut diadakan bertujuan meraikan masyarakat negeri ini yang menyambut kelahiran pada Hari Kemerdekaa­n setiap tahun.

“Selain itu, objektif program ini adalah untuk memupuk semangat cinta dan sayangkan negara dalam kalangan rakyat terutama generasi muda dan kanak- kanak,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia