Asensio sandaran baharu Sepanyol
MADRID, Sepanyol: Pemain berbakat besar bola sepak Sepanyol, Marco Asensio, akan membawa harapan seluruh negara apabila Sepanyol cuba menebus kekecewaan ke atas Itali pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 hari ini.
Walaupun berusia baharu 21 tahun, tiada banyak bukti pemain berbakat kelab Real Madrid itu terlalu tertekan dengan beban yang dipikulnya.
Asensio dijangka akan membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama perlawanan kompetetif untuk Sepanyol selepas memulakan musim dengan memberangsangkan apabila menjaringkan empat gol dari lima perlawanan untuk Real Madrid, termasuk dua gol cantik ketika menewaskan Barcelona dalam Piala Super Sepanyol.
Dan beliau dijangka akan mengekalkan rentak selepas menjaringkan gol dalam La Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol, Piala Super UEFA bersama Real tahun lepas.
“Ia sangat jelas di mana beliau adalah satu bakat luar biasa,” kata kapten Real Madrid dan juga Sepanyol, Sergio Ramos.
Asensio terpaksa menunggu peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa, di mana beliau hanya beraksi tiga kali setakat ini dan hanya bermain 10 minit perlawanan kompetetif ketika Sepanyol membelasah Liechtenstein 8-0.
Bagaimanapun, reputasi beliau sebagai salah seorang bakal bintang bola sepak dunia akan diteruskan ketika membantu Sepanyol melangkah ke final Euro Bawah 21 Tahun, menjaringkan hatrik ketika menentang Macedonia pada perlawanan pertama Sepanyol.
Prestasi cemerlang Asensio itu menyebabkan jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui memanggil beliau ke dalam skuad senior untuk perlawanan menentang bekas juara dunia dan kemenangan akan mengesahkan kelayakan mereka ke Piala Dunia 2018 di Rusia.
Kedua-dua pasukan terikat 16 mata di tangga teratas Kumpulan G Zon Eropah dengan tempat kedua akan bermain perlawanan playoff terakhir. — AFP