Sean Ghazi lancar single baru ‘Gelora’
HAMPIR 56 tahun berlalu sejak lagu berjudul ‘Gelora’ dirakamkan oleh ikon negara Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee & Seniwati Agung Allahyarham Puan Sri Saloma untuk filem ‘Seniman Bujang Lapok’.
Baru-baru ini, Sean Ghazi melancarkan semula lagu indah ini, dengan memperkenalkan IDA MARIANA, bersama sebuah video baharu arahan Tate Mario Ghazi.
‘Gelora’ merupakan lagu pertama Sean Ghazi di luar album sulung beliau – Sean Ghazi ‘Semalam’.
Rakaman muziknya dibuat di Amerika Syarikat, manakala rakaman vokal dilakukan di AS dan Kuala Lumpur.
Lagu ini menonjolkan ciri gubahan ala ‘ fever’ oleh ‘Stylo Mylos’, kugiran Sean Ghazi semasa berada di AS.
“Ilham susunan muzik ini datang semasa saya memegang watak utama dalam pementasan Muzikal P. Ramlee pada tahun 2007,” jelas Sean.
“Saya sering menyanyikan lagu ini dengan beberapa pasangan duet tetapi hanya betul-betul berani mengusahakan karya ini semasa tinggal di AS.”
Menurut Sean lagi, dia sudah lama mahu merakamkan lagu bersama Ida Mariana, seorang kawan lama dan pasangan kolaborasi yang amat dikenali dengan imej Kebaya Jazz.
Ida telah menyusul untuk bertemu Sean di Portland Oregon untuk terlibat dalam sebuah konsert di Washington Park pada tahun 2015, dan mereka mengambil peluang bekerja rapat dengan pemuzik-pemuzik di sana untuk menghasilkan versi ‘Gelora’ yang lebih menawan.
Sejurus selepas pelan- caran tersebut, Sean & Ida turut mengumumkan bakal mengadakan persembahan selama tiga malam di The Gardens Theater, Mid Valley City, pada 6 hingga 8 September nanti.
‘Gelora – The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ bakal dipentaskan sebagai sebahagian daripada program Kuala Lumpur International Arts Festival (KLIAF) anjuran DiverseCity.
Ia mengetengahkan TARAKUCHA! – sebuah big band dengan sentuhan vintaj Malaysia – yang ideanya dicetuskan sendiri oleh Sean, dan meraikan khazanah muzik Malaysia termasuk karya seniman unggul seperti P. Ramlee, Sudirman dan Jimmy Boyle.
‘TARAKUCHA’ mempersembahkan lagu klasik dengan humor, penuh bertenaga dan dalam kelas tersendiri sambil turut mengambil inspirasi muzik global dan malah membawakan lagu ciptaan baharu dalam gaya vintaj dan retro.
Dengan Sean dan Ida sebagai teraju vokal utama, TARAKUCHA dibarisi 10 pemuzik hebat tempatan pimpinan pengarah muzik, Nish Tham, serta menampilkan The Kuchettes – Izlyn Ramli, Maya Tan, Ruzana Ibrahim, Suhaili Micheline & Sabrina Hassan.
Sean berharap pencinta seni muzik dan budaya datang menyaksikan ‘Gelora – The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ dan turut menyokong usaha beliau membawa irama vintaj Malaysia ke peringkat global, menyedari perlu ada usaha bagi memastikan agar khazanah muzik negara terus hidup.
“Pada pendapat saya, ada antara karya klasik kita yang seharusnya menjadi sebahagian daripada repertoir antarabangsa – dan jika saya dapat memainkan peranan untuk menempatkan lagu klasik P. Ramlee sebaris dengan lagu-lagu seperti ‘My Way’, ‘Sway’ dan ‘Unforgettable’, ia akan mengangkat legasi muzik kita agar terus hidup di persada dunia.”
Tiket ‘Gelora – The Tarakucha Big Band Extravaganza!’ berharga RM170 / RM125 / RM100 / RM70 telah pun mula dijual di www.tix.my
Video muzik untuk lagu single ‘Gelora’ diarahkan oleh Tate Mario Ghazi, juga adik kandung Sean, yang turut bertanggungjawab menghasilkan video muzik ‘Semalam’ dan ‘Ku Impikan Bintang’.