Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki lemas kereta jatuh di laut

-

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam laut di Jalan Tanjung Lipat awal pagi Khamis.

Mangsa Han Chong Chen, 35, warga tempatan berasal dari Taman Bukit Sepanggar disahkan meninggal dunia dalam kejadian jam 6.18 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian terbabit mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Likas menaiki kereta jenis Toyota Camry.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam laut.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaann­ya dengan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.19 pagi.

“Bertindak dengan maklumat yang diterima, kita menggegask­an 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba anggota bomba melakukan operasi mengeluark­an mangsa yang terperangk­ap di dalam keretanya sebelum menaikkan mangsa ke kawasan darat.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia