Operasi menyelamat di Texas diperhebat
Usaha dilancar menerusi udara dan air tatkala Taufan Harvey mula bergerak ke pedalaman
ORANGE: Pekerja kecemasan di tenggara Texas yang dilanda taufan kelmarin melancarkan usaha menyelamat yang dramatik menerusi udara dan air di bandar yang sehingga sekarang tidak dapat dihubungi disebabkan oleh air banjir deras yang dicetuskan oleh taufan gergasi Harvey, yang akhirnya mula bergerak ke pedalaman.
Hampir seminggu selepas taufan itu membadai Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) sebagai taufan Kategori Empat, ribuan penyelamat dan orang awam yang ingin membantu menempuh keadaan sukar untuk sampai kepada mangsa banjir yang luar biasa itu.
“Kami fikir kami tidak akan apa-apa. Kami salah,” kata Lonnie Givens, yang enggan meninggalkan rumah setingkat mereka di bandar Orange. Sekarang, dia dan isterinya Missy mempunyai air kira-kira 10 sentimeter di dalam rumah dan tiada bekalan elektrik.
“Kami sebenarnya tidak ada tempat lain untuk dituju,” kata Givens.
Cerita yang disampaikan oleh Givens adalah sama bagi ramai lagi di bandar Texas yang dilanda hujan lebat selama berhari- hari, dengan lebuh raya yang masih ditenggelami air dan rumah musnah.
Sebuah hospital di bandar Beaumont yang teruk terjejas terpaksa mengeluarkan pesakit – hampir 200 orang – apabila bekalan air di bandar itu rosak.
Setakat ini Harvey dipersalahkan bagi sekurangkurangnya 38 kematian dan kerosakan bernilai puluhan bilion dolar.
“Kami masih dalam mod respons dan itu bermaksud menyelamatkan nyawa,” kata penasihat Keselamatan Tanah Air Tom Bossert pada taklimat White House. “Ada orang yang masih menempuh air setinggi paras pinggang.”
Bossert menganggarkan 100,000 rumah terjejas akibat banjir – ada yang ditenggelami air setinggi 2.4 meter atau lebih – dan berkata White House akan meminta dana kecemasan daripada Kongres.
Kelmarin ketiadaan bekalan elektrik ke unit penyejukan di sebuah loji kimia di Crosby mencetuskan letupan berkembar dan kebakaran yang memuntahkan asap hitam, tetapi pihak berkuasa berkata bahaya itu terhad.
Sedikit berita baik diterima – di Houston, bandar raya keempat terbesar di Amerika, sebahagian daripada 2.3 juta penduduk mendapat bantuan apabila air yang deras surut.
“Kami akan bersama anda sehingga kami membawa balik tenggara Texas untuk menjadi lebih besar dan lebih baik daripada selama ini,” kata Naib Presiden AS Mike Pence di bandar Rockport, yang mengalami kerosakan serius ketika Harvey melanda daratan.
Presiden Donald Trump, yang melawat Texas pada Selasa lepas, akan kembali ke negeri itu Sabtu – dan mungkin juga melawat Louisiana, yang turut menyaksikan banjir serius.
Di Orange, sebuah trak Pengawal Negara berhenti untuk menyelamatkan tiga orang dekat rumah Givens.
“Mereka adalah penyelamat nyawa!” jerit salah seorang wanita selepas dia keluar dari air setinggi paras lutut.
Di Beaumont, ke barat laut kota tepi pantai Port Arthur, sistem air mengalami kerosakan.
Brock Long, ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS (FEMA), berkata agensinya sedang bekerja dengan kerajaan negeri dan tentera untuk membuka pusat pengagihan air bagi mereka yang terjejas.
Kerosakan sistem air memaksa pemindahan hampir 200 pesakit dari sebuah hospital di Beaumont, ada yang dibawa dengan helikopter tentera.
“Ia sangat, sangat teratur,” kata jurucakap hospital Mary Poole. “Kami berlatih untuk ini banyak kali sebelum ini.”
“Kami cuba memastikan mereka sedekat mungkin,” katanya mengenai pesakit yang dipindahkan. “Sebahagian daripada proses pemulihan adalah untuk bersama keluarga anda.”
Pada awal kelmarin, dua letupan menggegarkan sebuah loji kimia yang ditenggelami banjir di Crosby, sebuah bandar dengan kira-kira 3,000 penduduk dan 40 kilometer ke timur laut Houston, yang mengeluarkan kepulan asap ke udara.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar berkata ia sedang meneliti data daripada sebuah pesawat yang meninjau suasana dan tidak ada petunjuk bahawa jumlah bahan toksik yang berbahaya telah dikeluarkan.
“Kami percaya bersama pihak berkuasa tempatan bahawa kami sudah menjauhkan semua orang dari bahaya, dan tidak ada orang yang dalam bahaya,” kata Richard Rennard, seorang eksekutif kanan bagi pemilik loji itu dari Perancis, Arkema, pada satu sidang akhbar.
Seramai 15 timbalan syerif yang cuba memadamkan kebakaran dimasukkan ke hospital buat seketika.
Lebih 30,000 penduduk mencari perlindungan di pusat yang disediakan di seluruh Texas, daripada pusat konvensyen gergasi Houston hingga kepada gereja kecil, menurut FEMA.
Di Texas, kos kerosakan akibat taufan itu ternyata begitu tinggi sekali - Enki Research memberikan “anggaran terbaik” antara AS$48 bilion hingga AS$75 bilion (RM216 bilion-337.5 bilion). — AFP