Utusan Borneo (Sarawak)

Profesor lapor isteri diculik didakwa membunuh

-

CIUDAD VICTORIA: Seorang profesor universiti di Mexico, yang melaporkan isterinya yang berasal dari Sepanyol diculik Julai lalu di utara Mexico, didakwa Rabu lepas atas tuduhan membunuhny­a.

Jorge Fernandez, seorang pakar jenayah yang tinggal bersama isteri dan anak lelakinya yang berusia setahun di Ciudad Victoria, utara Mexico, didakwa atas tuduhan membunuh isterinya. Seorang hakim memenjaran­ya selama dua tahun sementara menunggu perbicaraa­n.

Fernandez, 34, memberitah­u polis dia memandu pulang dari pantai pada 2 Julai lalu bersama isterinya Maria del Pilar Garrido dan anak mereka apabila lelaki bersenjata memaksa mereka untuk menghentik­an kereta dan menculik Garrido, juga berusia 34 tahun.

Namun Fernandez ditangkap Selasa lepas setelah penyiasat mengesan perkara yang tidak konsisten dalam ceritanya, kata pendakwa raya Tamaulipas, Irving Barrios, kepada media.

Ia tidak jelas kenapa penculik membiarkan Fernandez dan anaknya, dan tiada tuntutan wang tebusan yang pernah diterima.

Mayat Garrido dijumpai pada 26 Julai, dekat lokasi di mana dia kononnya diculik.

Garrido hidup sejak tiga tahun lalu bersama Fernandez di Tamaulipas, salah sebuah negeri yang paling teruk dilanda keganasan kartel dadah di Mexico.

Namun “kumpulan jenayah terancang tidak ada sejarah beroperasi dengan cara ini di wilayah ini”, kata Barrios kepada rangkaian TV Mexico, Televisa.

Fernandez menafikan membunuh isterinya, dan keluarga isterinya juga berkata mereka percaya dia tidak bersalah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia