Utusan Borneo (Sarawak)

Pelajar Melayu cemerlang Mandarin dapat perhatian

Usahawan Cina taja pengajian 4 tahun di Universiti Xiamen

-

KOTA BHARU: Seorang pelajar Melayu yang juga pelajar paling cemerlang di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ( SMJK) ( C) Chung Cheng di sini, bertuah apabila mendapat tajaan seorang usahawan berbangsa Cina bagi melanjutka­n pengajian selama empat tahun di Universiti Xiamen cawangan Malaysia di Sepang, Selangor.

Muhamad Aidil Mohd Anis, 18, yang mencatat 9A+ termasuk bagi mata pelajaran Bahasa Mandarin dalam peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia, adalah anak yatim yang tinggal bersama ibunya, Ramiza Abdul Rahman, 49, di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, di sini.

Kecemerlan­gan pelajar terbabit mendapat perhatian usahawan, Gan Leong Piow yang terharu dan kagum dengan pencapaian Muhamad Aidil yang fasih berbahasa Mandarin.

Muhamad Aidil yang ditemui pemberita di sini, berkata beliau bersyukur kerana ada insan yang sanggup membiayai keseluruha­n kos pengajian termasuk tempat tinggal yang disewanya sebanyak RM500 sebulan sepanjang belajar di universiti berkenaan.

“Sebenarnya saya mula mengenali bahasa Mandarin ketika belajar di tadika ketika berumur enam tahun daripada seorang guru dikenali sebagai Miss Chong,” katanya.

Menurut remaja itu beliau dicabar agar belajar bersungguh-sungguh jika tidak mahu ditukarkan ke sekolah menengah kebangsaan semasa memulakan persekolah­an menengah di SMJK C Chung Cheng yang sebelum itu belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Cheng.

Katanya berkat dorongan ibu yang tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat, akhirnya beliau berjaya dalam peperiksaa­n malah menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah itu.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mengecewak­an pihak yang membantu saya, khususnya individu yang menaja kos pengajian saya di universiti.

“Saya sendiri sebenarnya banyak bergantung kepada ibu selepas kematian bapa tiga tahun lalu,” katanya yang akan melanjutka­n pengajian dalam bidang kewangan dan bercita-cita menjadi seorang juruanalis­is kewangan.

Sementara itu, Gan berkata beliau membantu Muhamad Aidil kerana berasa kagum dengan pencapaian­nya serta menganggap pelajar itu seorang yang berbakat.

Katanya pelajar seumpama ini amat sukar ditemui dan menjadi tanggungja­wabnya untuk membantu menjadikan pelajar itu berjaya pada masa hadapan.

Menurut Gan, beliau mendapat tahu mengenai kecemerlan­gan Muhamad Aidil melalui rakan media sosialnya yang mengatakan terdapat pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan dan memutuskan untuk membantu pelajar itu. — Bernama

Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mengecewak­an pihak yang membantu saya, khususnya individu yang menaja kos pengajian saya di universiti. Muhamad Aidil Mohd Anis Pelajar cemerlang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia