Utusan Borneo (Sarawak)

Tanam pokok buah-buahan untuk landskap jalan

-

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji jenis pokok buah- buahan yang sesuai ditanam untuk landskap jalan bagi memudahkan pengguna jalan raya mengenal pasti arah ketika datang ke Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata beliau telah mengarahka­n semua agensi berkaitan seperti Jabatan Landskap Negeri Melaka, pihak berkuasa tempatan dan syarikat pertanian untuk menyiapkan kajian tersebut selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Kita juga akan menubuhkan satu komiti (jawatankua­sa) bagi memastikan satu polisi baharu mengenai landskap Melaka dapat disiapkan sebelum sambutan tahun baharu 2018,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Pesta Durian dan buah-buahan tempatan Melaka 2017 di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang di sini semalam.

“Landskap di Melaka nanti bukan hanya (menampilka­n) bunga-bungaan tetapi juga pokok buah-buahan seperti yang terdapat di negara maju lain.

“Sebagai contoh pokok limau ditanam untuk landskap jalan di Taiwan dan beberapa negara lain,” kata beliau.

“Misalnya, lebuh raya yang menghubung­kan Air KerohPaya Rumput-Sungai Udang akan ditanam dengan pokok manggis bagi memudahkan orang ramai mencari arah ke Sungai Udang,” katanya. Idris berkata beliau juga mengarahka­n agensi yang berkaitan dengan pertanian menggandak­an kegiatan mereka.

“Kalau dahulu kita memotong pokok untuk membina bangunan tetapi kini kita akan cuba untuk menghalang pemaju untuk memotong pokok dan mengekalka­nya serta menambah lagi pokok. “Kita dapati Singapura merupakan bandar terhijau di dunia apabila 21 peratus bandarnya diliputi oleh pokok-pokok yang hijau,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Pesta Durian dan buah-buahan tempatan Melaka 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Pembanguna­n Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB), Datuk Isnin Aman berkata ini adalah merupakan kali ketiga pesta tersebut dianjurkan.

“Kita jangka akan menerima kedatangan lebih daripada 30,000 orang pengunjung terdiri daripada orang tempatan dan pelancong dari luar negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia