Utusan Borneo (Sarawak)

Musim cuti, warga asing banjiri ibu kota

-

KUALA LUMPUR: Ketika sebahagian besar warga bandar raya Kuala Lumpur mengambil peluang cuti umum yang panjang untuk pulang ke kampung masing-masing, ibu kota yang ditinggalk­an tetap ‘hidup’ dengan gelagat pekerja asing yang mengambil kesempatan berkumpul bersama rakan senegara.

Antara kawasan tumpuan mereka yang kebanyakan­nya dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Pakistan ialah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Petaling, Kota Raya dan Pasar Seni.

Ketika ditemui Bernama di depan KLCC, Mansour Abbas, 34 dari Bangladesh, berkata memang menjadi kebiasaan untuk dia dan rakan-rakannya yang bekerja di sekitar ibu kota berjumpa pada musim cuti perayaan.

“Kami tidak ada peluang untuk berjumpa kecuali pada musim cuti panjang sebegini. Selalunya kami hanya berbualbua­l sambil bersiar- siar,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n di sebuah tapak pembinaan di sini, dan telah empat tahun bekerja di negara ini.

Cuti panjang lima hari sejak Khamis bermula dengan sambutan Hari Kebangsaan 2017, diikuti Aidiladha kelmarin, manakala semalam dan hari ini merupakan cuti hujung minggu dan Isnin pula cuti khas yang diumumkan kerajaan susulan kejayaan Malaysia menjuarai temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, pembantu domestik dari Surabaya, Indonesia, Isna Fitwal, 32, berkata dia menggunaka­n peluang cuti panjang untuk menyambut Aidiladha bersama saudara dan rakan-rakan sekampung yang bekerja di negara ini.

“Oleh kerana kos untuk pulang beraya ke Surabaya tinggi, saya memilih beraya bersama kakak saudara dan rakan-rakan sahaja di sini setelah majikan pulang ke kampung. Saya tidaklah terlalu sedih kerana orang Islam di sini merayakan hari raya sama sahaja seperti di Surabaya. Saya bersyukur kerana bekerja di negara ini,” katanya.

Buruh binaan, Sabbir Mufazar, 27, dari Dhaka, Bangladesh pula berkata peluang bersiar-siar secara santai seperti semalam tidak datang selalu.

“Bukan setiap hari kita boleh bersiar-siar seperti sekarang, jalan tidak sesak, kompleks beli-belah pula tak begitu ramai seperti biasa, jadi senang untuk kita membeli barang,” katanya.

Bagaimanap­un, kebanjiran warga asing di ibu kota agak ‘merimaskan’ bagi sesetengah rakyat tempatan yang tidak selesa dengan cara mereka yang suka berkumpul beramai-ramai.

Suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Lina, 30-an, berkata niatnya yang mahu membawa anak-anak keluar bersiar-siar di sekitar Pasar Seni terbantut apabila lokasi berkenaan dipenuhi warga asing.

“Saya tinggal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Oleh kerana cuti sehingga hari Isnin, saya dan suami bawa anak-anak jalan-jalan di sini, tapi apabila pemandanga­n macam ini memang tidak selesa sebab ada antara warga asing ini suka meludah di tepi jalan,” katanya yang menukar rancangan dan membawa anak-anak ke Putrajaya.

Bagi peniaga minuman dan buah-buahan potong di bahu jalan pula kebanjiran warga asing di pusat bandar raya ibarat lombong emas buat mereka yang menjadi tumpuan warga asing terbabit menghilang­kan dahaga selepas penat bersiarsia­r.

Firdaus Ramli, 29, yang berniaga di bahu jalan di Lebuh Pudu berkata jualannya meningkat sepanjang musim cuti ini dan kebanyakan pelanggan adalah pekerja warga asing yang berkumpul di sekitar kawasan itu.

“Sebab mereka terlalu ramai, saya terpaksa membuka sebuah lagi gerai bagi menampung permintaan. Bagi saya ini rezeki,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia