Utusan Borneo (Sarawak)

Duterte akan temui pemimpin M’sia, Indonesia berhubung pakatan tangani pengganas

-

DAVAO CITY: Presiden Filipina Rodrigo Duterte akan bertemu dengan pemimpin Malaysia dan Indonesia bagi memformalk­an perincian pakatan antikegana­san, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam temu bual bersama media lewat tengah malam Ahad, Duterte berkata beliau, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bersetuju untuk bertemu di kawasan berhampira­n Filipina seperti Sabah dan Jakarta.

“Kami bersetuju untuk berbincang, ketiga-tiga kami. So naghintay lang kami ng timing (Kami cuma menunggu masa yang sesuai),” katanya dalam temu bual dengan pemberita di luar sambutan hari lahir Anggota Perwakilan Davao City, Karlo Nograles.

Duterte berkata kemungkina­n besar pakatan itu melibatkan penubuhan pasukan petugas khas bersama untuk menjejaki anggota ISIS.

“Saya akan buka sempadan negara saya kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia.., dan saya akan laksanakan… mereka akan diberi akses,” katanya dipetik berkata oleh PNA.

Menurut Presiden itu mesyuarat sudah diusahakan dan hanya perlu diformalka­n.

“Kita perlu berjumpa secara berdepan dan bersetuju dengan agenda perbincang­an itu,” katanya.

“Saya cuma boleh berada di sana mungkin untuk sehari dua. Buat masa sekarang tidak boleh, saya tidak ada masa sekarang kerana saya perlu tangani masalah yang serius di sini,” katanya.

Duterte berkata beliau juga perlu melawat Marawi lebih kerap sehingga krisis berakhir.

Dalam pada itu katanya beliau turut melihat situasi di bahagian-bahagian lain di Mindanao seperti Buldon dan Maguindana­o yang berdepan pertempura­n setiap hari.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini berlaku tetapi saya mahu mengekang semua ini menjelang hujung tahun,” katanya.

Semasa ulang tahun ke-11 Eastern Mindanao Command di Davao City pada Jumaat, Duterte berkata beliau menimbang untuk menarik balik undang-undang tentera.

“Tengok dulu. Jika ia dilakukan untuk kepentinga­n negara saya akan tarik balik. Akan tetapi jika tidak, kita akan teruskan dengan pemerintah­an tentera,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia