Utusan Borneo (Sarawak)

Pertanding­an Pidato Terbuka Piala William Mawan, 6-8 Okt

-

KABONG: Pertanding­an Pidato Terbuka Peringkat Kebangsaan merebut Piala Tan Sri William Mawan Ikom berlangsun­g dari 6 hingga 8 Oktober depan.

Pertanding­an tersebut bakal menyaksika­n persaingan peserta melibatkan dua kategori iaitu sekolah rendah dan menengah.

Pengelolaa­n pertanding­an ini diamanahka­n kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong.

Peserta muncul juara menerima hadiah berupa sebuah piala pusingan, piala iringan, wang tunai dan sijil penyertaan.

Manakala naib johan dan tempat ketiga menerima hadiah berupa piala, wang tunai dan sijil penyertaan.

Sementara itu, bagi peserta berjaya ke peringkat separuh akhir turut menerima piala iringan dan sijil penyertaan.

Jurucakap penganjur, Nazmi Jaafar berkata setiap sekolah dibenarkan menghantar maksimum dua peserta bagi setiap kategori dengan setiap seorang penyertaan dikenakan yuran sebanyak RM100.

“Untuk kategori sekolah rendah peserta mesti berumur antara 10 hingga 12 tahun iaitu terdiri daripada murid tahun empat, lima dan enam.

“Bagi kategori sekolah menengah peserta mesti berumur 14 hingga 16 tahun iaitu pelajar tingkatan dua, tiga dan empat.

“Setiap pemidato terlebih dahulu bertanding dalam pusingan awal iaitu peringkat saringan.

“Peserta berjaya melepasi peringkat saringan layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Nazmi berkata pidato wajib sekolah rendah diperuntuk­kan masa lima minit manakala pidato spontan diberi masa tiga minit.

Manakala bagi pidato wajib sekolah menengah diberi masa tujuh minit dan pidato spontan selama empat minit.

“Setakat ini penyertaan sekolah menengah begitu baik dengan sebanyak 21 penyertaan diterima melibatkan sekolah dari seluruh Malaysia,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubung­i Nazmi selaku penyelaras teknikal di talian 013-3761471 atau Harmi Mohd Jamil sebagai penyelaras teknikal penghakima­n di talian 012-2154945.

Orang ramai juga boleh melayari http://belajardeb­at. blogspot.com

untuk mendapatka­n maklumat berkaitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia