Utusan Borneo (Sarawak)

Italy sedia bangkit selepas kekecewaan di Madrid

-

REGGIO EMILIA, Itali: Itali akan cuba bangkit selepas kekalahan mengecewak­an kepada Sepanyol apabila menanti kunjungan Israel di Reggio Emilia dalam aksi kelayakan Zon Eropah Piala Dunia 2018 hari ini.

Itali memerlukan tiga mata untuk mengesahka­n tempat kedua dalam Kumpulan G, di belakang Sepanyol dan mengekalka­n kelebihan tiga mata berbanding Albania yang berada di tangga ketiga ketika memburu kelayakan ke Rusia, tuan rumah Piala Dunia 2018.

Skuad kendalian Giampiero Ventura jelas gagal menyaingi Sepanyol apabila tewas 0-3 pada perlawanan di Santiago Bernabeu Sabtu lepas.

Perlawanan menentang Israel di Stadium Mapei di utara Itali ini sudah menjadi sangat penting ketika mereka cuba mengembali­kan keyakinan untuk layak ke playoff terakhir kelayakan pada bulan November depan.

“Kekalahan teruk akan membantu kami berkembang. Sekarang keazaman lebih tinggi untuk perlawanan Selasa ini,” kata pemain tengah, Antonio Candreva.

Penyerang Lorenzo Insigne menambah: “Untuk melangkah ke Piala Dunia, kami harus terus bersatu.”

Israel, tujuh mata di belakang Itali – juga tewas perlawanan hujung minggu lepas apabila kecundang 0-1 kepada Macedonia, kekalahan keempat mereka dalam kempen kelayakan.

Tetapi Ventura mempunyai masalah di benteng pertahanan.

Giorgio Chiellini masih tidak dapat beraksi kerana kecederaan betis dengan Leonardo Bonucci, yang menerima kad kuning Sabtu lepas dan Leonardo Spinazzola, cedera pada minit akhir menentang Sepanyol.

Davide Zappacosta dipanggil saat akhir untuk menjalani latihan di Florence pada hari Ahad ketika Ventura merombak barisan pertahanan.

Andrea Barzagli dan Daniele Rugani mungkin digandingk­an bersama di posisi pertahanan tengah dengan Andrea Conti di pertahanan kanan dan Matteo Darmian di pertahanan kiri.

Sementara itu, penjaga gol remaja, Gianluigi Donnarumma mungkin menggantik­an tugas Gianluigi Buffon.

“Ia kekalahan menentang pasukan yang kualiti yang hebat. Kami ada melakukan beberapa aksi yang baik dan juga ada yang buruk, ia tidak harus memadam segala usaha baik yang kami lakukan sehingga sekarang,” kata Darmian.

Kekalahan itu adalah yang pertama buat Itali sama ada dalam kempen kelayakan Piala Dunia atau Euro sejak September 2006, satu tempoh 56 perlawanan. — AFP

 ??  ?? ROONEY
ROONEY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia