Utusan Borneo (Sarawak)

CURI PETROL DIPERCAYAI PUNCA MOTOSIKAL HANGUS

-

SARIKEI: Kebakaran sebuah motosikal di Flat Gunasama Persekutua­n, Jalan Permai di sini malam kelmarin dipercayai ada kaitan tindakan pihak tertentu cuba mencuri minyak petrol dari motosikal terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Zamry Ali berkata siasatan awal mendapati terdapat satu botol plastik air mineral hampir separuh terbakar dengan kandungan sedikit cecair berbau minyak petrol berhampira­n lokasi kejadian.

“Polis percaya terdapat individu tertentu cuba mencuri minyak dari motosikal tersebut, namun apabila berlaku kebakaran kami buka siasatan menggunaka­n Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) Khianat Dengan Api.

“Ini kerana bukti di tempat kejadian lebih menjurus kepada pendakwaan kes khianat berbanding kes curi minyak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Zamry, berdasarka­n laporan seorang pengadu yang merupakan penghuni flat terbabit, pada jam 11.15 malam dia diberitahu oleh anaknya terdapat bunyi letupan di bawah flat mereka.

Lantas, pengadu melihat keluar rumah dan mendapati asap tebal memenuhi bahagian bawah bangunan tersebut.

“Pengadu memohon bantuan penghuni blok lain membantu memadamkan kebakaran itu kerana mereka tidak dapat keluar berikutan laluan tangga dipenuhi asap tebal.

“Setelah asap reda, pengadu bersama penghuni lain turun dan mendapati sebuah motosikal bersama kotak besi mengandung­i kabel telekom dan lampu kecemasan musnah terbakar.

“Selain itu, terdapat sebuah motosikal diletakkan ber- hampiran turut mengalami kerosakan terkena bahang kebakaran,” katanya.

Zamry berkata, berikutan kejadian itu usaha menjejaki individu terlibat giat dijalankan dan kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suna Kaha berkata pihanya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.25 malam.

“Sejurus selepas menerima panggilan, sepasukan bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Abang Joharie bersama sebuah jentera pemadam bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah motosikal musnah 100 peratus manakala sebuah lagi motosikal turut rosak pada kadar 10 peratus.

“Anggota bomba mengambil masa 15 minit mengawal dan memadam kebakaran terbabit,” katanya.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 ??  ?? MUSNAH: Beginilah keadaan motosikal yang terbakar.
MUSNAH: Beginilah keadaan motosikal yang terbakar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia