Utusan Borneo (Sarawak)

PENJAWAT AWAM MENGAKU TIDAK BERSALAH TERIMA RASUAH RM5,000

-

SIBU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,000.

Tertuduh, Azrul Izman, 32, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Nixon Kennedy Kumbong selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Malaysia, semalam.

Mengikut pertuduhan, Azrul didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Mac 2015, kira-kira jam 4 petang di sebuah bilik hotel di sini.

Dia didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Amy Yip, sebagai dorongan bagi memulangka­n barang rampasan iaitu barangan kemas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, Akta yang sama.

Seksyen ini memperuntu­kkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarka­n Azrul bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan 26 September ini sebagai tarikh awal pengurusan kes di Kuching serta 3 hingga 5 Oktober untuk perbicaraa­n kes.

Tertuduh juga diarah untuk melantik seorang peguambela sebelum tarikh tersebut.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhd Tajul Ariffin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia