Utusan Borneo (Sarawak)

Industri maritim harus lebih menarik untuk pelaut muda

-

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan untuk menarik minat bakat muda tempatan mempertimb­angkan karier dalam industri maritim serta perkhidmat­an yang berkaitan, kata Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kejayaan industri maritim bergantung kepada bekalan tenaga kerja yang berkelayak­an tinggi tanpa bergantung kepada bakat pelaut asing.

“Bagi memastikan ia dapat direalisas­ikan, industri ini haruslah dapat menarik minat generasi muda untuk menawarkan kerjaya yang menarik dan memuaskan,” katanya dalam ucapan pelancaran Hari Maritim Sedunia 2017 di sini semalam.

Bercakap pada sidang media kemudian, Liow berkata pada masa ini terdapat 5,000 warga tempatan bekerja dengan syarikat perkapalan Malaysia.

Menurutnya, industri itu perlu meningkatk­an bilangan pelaut tempatan kerana pada masa ini lebih 6,000 pelaut asing bekerja di atas kapal yang berdaftar di Malaysia.

Liow berkata industri itu telah melatih ribuan pelaut tempatan setiap tahun, tetapi kebanyakan mereka memilih untuk bekerja dengan syarikat perkapalan asing.

“Kami mahu mereka bekerja dengan syarikat perkapalan Malaysia, tetapi kita harus mengukuhka­n industri perkapalan negara terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Menteri Pengangkut­an berkata beberapa strategi dan usaha sedang dirancang untuk meningkatk­an bilangan pelaut tempatan pada masa hadapan termasuk meminda Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk mendaftark­an lebih banyak kapal Malaysia.

Liow berkata dengan pindaan itu, yang antara lain termasuk pendaftara­n kapal secara dalam talian, akan dapat membantu mengurangk­an birokrasi untuk mendaftark­an kapal Malaysia dan yang akan mengibarka­n bendera Malaysia. Liow menjelaska­n strategi dan usaha itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Perkapalan Malaysia untuk memulihkan industri perkapalan dan sektor maritim di Malaysia melalui strategi berstruktu­r dan seterusnya membangunk­an industri maritim negara.

Dalam perkembang­an berkaitan, Liow juga mengumumka­n Malaysia berminat untuk menduduki Majlis Pertubuhan Maritim Antarabang­sa ( IMO) bagi penggal 2018-2019 semasa perhimpuna­n agung IMO November ini.

“Malaysia berminat dan bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam mencapai aspirasi IMO bagi laut yang lebih selamat dan standard ekosistem maritim yang cemerlang. Saya yakin kita boleh menyumbang lebih banyak lagi sekiranya berkhidmat dalam majlis IMO,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia