Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi Masyair tamat, berjalan lancar

-

MEKAH: Operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji, berakhir secara rasmi malam kelmarin, setelah kesemua jemaah haji Malaysia yang berada di Mina kembali semula ke Mekah, lewat petang Isnin.

Ketika mengumumka­n perkara itu selepas solat Isyak di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini malam kelmarin, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata operasi berkenaan berjalan lancar dan baik.

“Alhamdulli­lah, Operasi Masyair ini dapat dilaksanak­an dengan baik. Selaku Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, saya dengan lafaz membesarka­n Allah SWT, mengisytih­arkan Operasi Masyair bagi musim haji 1438 Hijrah ditamatkan sepenuhnya,” kata beliau.

Pengumuman beliau di hadapan petugas Tabung Haji itu, turut didengar secara langsung melalui sistem peralatan komunikasi Bravo, yang digunakan petugas di beberapa lokasi sekitar Tanah Suci ini.

Masyair ialah kawasan bermulanya ibadah haji di luar kota Mekah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina, sebelum jemaah haji kembali ke Mekah untuk tawaf, saie dan tahlul.

Syed Saleh berkata pergerakan bas membawa jemaah haji Malaysia itu bermula 6.59 pagi dan berakhir pada 5.57 petang kelmarin, membabitka­n lebih 600 bas.

“Mulai 6.59 pagi hari ini (kelmarin), bas pertama telah bergerak dari Mina menuju ke Mekah dan bas terakhir meninggalk­an Mina adalah pada 2.20 petang.

Dengan tempoh perjalanan keseluruha­nnya 10 jam 57 minit, ia pergerakan yang lancar kerana sebelum ini saya menjangkak­an kesemuanya akan hanya dapat diselesaik­an pada jam 8 atau 9 malam,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah berkat usaha kerja berpasukan dan komitmen tinggi yang ditunjukka­n semua petugas Tabung Haji, serta dengan izin Allah SWT.

“Petugas Operasi Masyair telah melakukan pemeriksaa­n terperinci, melihat dan menyemak semua kawasan termasuk khemah penginapan, lorong-lorong serta laluan ke Kompleks Jamrah dan mengesahka­n tiada lagi jemaah haji Malaysia berada di bumi Mina pada 3.20 petang (kelmarin),” katanya.

Syed Saleh seterusnya berkata pihaknya juga berjaya melaksanak­an aktiviti ’Safari Wukuf’’ yang membawa 86 jemaah yang sakit dengan menggunaka­n enam bas dan tiga ambulans, membolehka­n mereka melakukan wukuf selama kira-kira dua jam.

“Tahun ini juga buat pertama kalinya kita berjaya melaksanak­an program warga emas dengan membawa mereka terus dari Arafah ke Mekah, dan tidak berada di Mina. Operasi ini dapat dilaksanak­an dengan jayanya menggunaka­n dua bas khas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia