Utusan Borneo (Sarawak)

Bayi dalam semak dinamakan Muhammad Ehsan Adha

-

KUANTAN: Bayi lelaki yang ditemui dalam semak berhampira­n kuarters kerajaan Desa Kenanga Muadzam Shah, Rompin dekat sini pada 27 Ogos lalu dinamakan Muhammad Ehsan Adha.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, bayi itu kini ditempatka­n di sebuah institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tahap kesihatan Adha (Muhammad Ehsan Adha) berada dalam keadaan memuaskan dan tidak mengalami kecederaan kecuali beberapa kesan gigitan serangga yang berkemungk­inan disebabkan berada di dalam semak untuk tempoh 24 jam.

“Kesan gigitan serangga bagaimanap­un telah hilang dan Adha kelihatan semakin aktif dan menyusu dengan baik di bawah jagaan JKM,” katanya semasa dihubungi di sini, semalam.

Pada 27 Ogos lalu, media melaporkan penemuan bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalam plastik bersamasam­a uri yang telah busuk di kawasan semak sekitar jam 10.15 malam oleh seorang peniaga Mohd Safarin Mohd Shahir.

Mohd Safarin mendakwa dia dimaklumka­n mengenai bayi itu oleh seorang lelaki Pakistan yang pada mulanya menyangka plastik tersebut berisi anak kucing sebelum kembali dan memeriksa isi kandungan plastik berkenaan beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata pemeriksaa­n kesihatan mendapati bayi seberat 2.6 kilogram itu dilahirkan dalam keadaan cukup bulan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia