Utusan Borneo (Sarawak)

Guru wajib pupuk perpaduan pelajar pelbagai kaum

-

TANJONG MALIM: Para guru mempunyai pengaruh kuat untuk memupuk semangat muhibah dalam kalangan pelajar berlatarbe­lakangkan pelbagai agama, kaum dan budaya yang seterusnya akan memastikan kekuatan serta kestabilan negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah maka itu guru-guru wajib terus memberi keutamaan memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum walaupun negara telah mencapai kemerdekaa­n berpuluh tahun lamanya.

“Gagasan kepada pendidikan yang cemerlang, didukung oleh orang yang penuh berbakat, gigih lagi tekun bekerja,” titah baginda ketika melancarka­n buku ‘Yahya Ibrahim; Ikon Pendidikan Negara’ di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Buku setebal 153 muka surat mengenai Tan Sri Yahaya Ibrahim atau lebih dikenal sebagai Cikgu Yahaya dihasilkan oleh tiga warga UPSI iaitu A. Halim Ali, Raja Ahmad Shalaby dan Ahmad Janatul Firdaus.

Sultan Perak bertitah guru terbilang dan berdediksa­si berupaya menyalakan bara semangat belajar dalam kalangan pelajar selain sanggup bekerja sepanjang masa demi memastikan anak didik mencapai kejayaan lebih gemilang daripada mereka sendiri.

Baginda menarik perhatian dengan bertitah guru yang namanya menjadi sebutan di hujung setiap lidah pelajar adalah mereka yang berjaya memenangi hati pelajar.

Sultan Perak turut bertitah falsafah yang dipegang dan peranan yang pernah dilaksanak­an oleh guru lulusan Kirkby College pada era pra dan pascamerde­ka hendaklah diteruskan oleh warga pendidik di setiap bilik darjah dan di setiap sekolah di negara ini.

“Bonda beta Tuanku Permaisuri Bainun adalah seorang lulusan Kirkby College. Baginda mengamalka­n sikap sangat terbuka, menerima dan menghormat­i teman sekerja, rakan kenalan, jiran tetangga serta ibu bapa dan murid yang berlatar belakang pelbagai agama dan pelbagai kaum.

“Baginda menunjukka­n contoh teladan yang baik kepada anak didik untuk mengenali dunia lebih luas yang membantu beta dan adindaadin­da tanpa berprasang­ka negatif, berupaya menjalin perhubunga­n persahabat­an yang lebih lebar, merentasi sempadan agama, kaum, budaya, politik dan negara,” titah Sultan Nazrin.

Sambil menzahirka­n penghargaa­n atas pelancaran buku itu, Sultan Nazrin berharap agar usaha berkenaan menjadi pendorong kepada UPSI mengusahak­an siri penerbitan tokoh-tokoh pendidikan dan keguruan sama ada tempatan atau antarabang­sa.

Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 Feb 1929, Yahaya yang merupakan lepasan Kirkby College menceburi bidang pendidikan selama 30 tahun mulai 1954 dan walaupun telah bersara beliau terus aktif sehingga hari ini melibatkan diri dalam dunia pendidikan swasta serta pendidikan peringkat universiti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia