Utusan Borneo (Sarawak)

Ahmad Zahid sampaikan sumbangan kepada 23 asnaf di Jeli

-

JELI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam meluangkan masa bertemu sekumpulan 23 orang golongan asnaf di Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas di sini sempena lawatan sehari beliau ke Kelantan.

Ahmad Zahid yang tiba kira-kira jam 5.10 petang di sini turut berkesempa­tan meluangkan masa lebih setengah jam untuk bertanya khabar dan bermesra dengan tiga pesakit kronik iaitu Muhammad Hasan, 61, dan Nik Esah Tuan Draman, 64, yang diserang angin ahmar, manakala Azizah Samad, 59, pesakit ketumbuhan di leher dipercayai kanser.

Beliau turut menyampaik­an sumbangan wang tunai RM200 masing-masing kepada 23 golongan itu serta tiga pesakit kronik itu, selain menyerahka­n topi keledar kepada 25 anggota Pergerakan Pemuda UMNO dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kedai Ayer Lanas.

Turut hadir Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri merangkap anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, serta Presiden Persatuan Superbiker­s Malaysia (SAM) Datuk Abdul Halim Sulaiman.

Terdahulu, Ahmad Zahid menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kem Rejimen Sempadan Batu 11, Tanah Merah sejauh 20 kilometer ke Kampung Wakaf Zin, di sini sambil diiringi 600 penunggang motosikal daripada persatuan tersebut.

Sementara itu, Nik Esah ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kerana dapat bertemu dengan Ahmad Zahid yang sebelum ini hanya biasa dilihatnya di televisyen.

Ibu kepada sembilan anak itu yang terlantar akibat angin ahmar sejak 10 tahun lalu kini dijaga oleh suaminya, Junoh Saad, 70, dan anak ketujuhnya, Halimatul Hazwa, 30.

“Walaupun mata saya rabun, tapi saya kenal beliau (Ahmad Zahid). Saya cam apabila dengar dia bercakap dengan saya,” katanya dalam nada ceria.

“Saya sudah lama berhasrat menemui pemimpin negara dan doa saya untuk berjumpa Timbalan Perdana Menteri termakbul hari ini (semalam),” katanya yang diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu. Beliau mempunyai 10 anak.

Petang semalam, Timbalan Perdana Menteri menghadiri Program Bersama Pelajar Baru Universiti Malaysia Kelantan kampus Jeli sebelum menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Makan-Makan Bandar Jeli, yang dijadualka­n jam 9 malam tadi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia