Utusan Borneo (Sarawak)

DAP diminta siarkan senarai penuh 2,576 anggota perwakilan dalam akhbar

-

BUTTERWORT­H: Anggota perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankua­sa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu mahu senarai penuh nama yang layak mengundi beserta nombor kad pengenalan mereka disiarkan dalam akhbar pelbagai bahasa.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata langkah itu untuk memastikan pemilihan semula yang dijangka pada 1 Okt dijalankan dengan telus menggunaka­n senarai nama 2,576 anggota perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Dis 2012 supaya kesahihan pemilihan semula itu tidak lagi dipertikai.

“Kami tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan. Langkah ini penting untuk mempertaha­nkan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Pada 21 Julai lepas, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu akur dengan arahan Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan semula pemilihan CEC dan menggunaka­n senarai 2,576 anggota perwakilan itu serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendali­kan pemilihan semula berkenaan.

DAP juga difahamkan telah melantik sebuah firma audit bebas PKF Consulting untuk mengadakan pemilihan semula itu.

Asoghan berkata DAP juga perlu menyiarkan nama firma audit yang dilantik untuk memantau proses pemilihan semula parti berkenaan dalam akhbar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia