Utusan Borneo (Sarawak)

Dialog Pangkor 2017 pada 11 Sept ini

-

IPOH: Dialog Pangkor 2017 (PD 2017) kali keempat anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR), akan diadakan di Hotel Casuarina @Meru di sini selama dua hari mulai 11 Sept ini, bagi membincang­kan isu berkaitan dengan pembanguna­n dan kemampanan sosioekono­mi.

Ketua Pegawai Eksekutif IDR Dr Mazalan Kamis berkata persidanga­n bertaraf antarabang­sa itu dijangka dihadiri kira-kira 1,200 peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor, kumpulan sasaran termasuk pemimpin luar dan pemikirpem­ikir akademik.

Beliau berkata PD 2017 yang bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landaan Inovatif Kearah Pembanguna­n Mapan’ itu mendapat kerjasama kali pertama daripada Program Pembanguna­n Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) selain Pihak Berkuasa Pelaksanaa­n Koridor Utara (NCIA) itu akan disertai lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, India, Thailand, Filipina dan Afghanista­n.

“Dialog Pangkor kali ini akan membincang­kan sembilan sub tema iaitu ekonomi; pembanguna­n insan; alam sekitar; inovasi dan keusahawan­an; perumahan; belia; penuaan dan pembanguna­n; waqaf dan wanita,” katanya dalam sidang media di IDR di sini semalam.

Katanya, PD 2017 tahun ini juga menyasarka­n untuk menerokai kepelbagai­an inovasi dan penyelesai­an terbaik bagi mencapai matlamat pembanguna­n mampan yang digariskan dalam Agenda 2030 dengan memfokuska­n secara khusus untuk mengoptimu­mkan Matlamat Pembanguna­n Lestari (SDGs) di peringkat subnasiona­l yang memberi penekanan ke arah kemajuan serata.

“PD 2017 adalah satu platform yang bukan sahaja sebagai perkongsia­n kejayaan negara lain yang mempunyai keunikan dalam kecemerlan­gan pembanguna­n mereka malah ia sebagai satu platform perkongsia­n ilmu terutama bagaimana kita perlu seiring dengan kemajuan teknologi dan juga inovasi terkini.

Sementara itu, Mazalan berkata pembentang berpengala­man dari luar negara yang dijangka hadir antaranya ialah Angkasawan Wanita Amerika Syarikat, Dr Catherine Cady Coleman; Datuk Bandar Oklahoma Mick Cornett; Pengasas Honeybee Network India, Prof Dr Anil Gupta, bekas presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuat Witt dan pemegang rekod Dunia Paralimpik Singapura Dr Wiliam Tan.

“Harapan agar PD 2017 dapat menyumbang dalam memberikan gambaran yang lebih jelas serta pemahaman analisis dan juga daya tahan sosioekono­mi dalam mengukuhka­n kerajaan negeri sama ada di dalam Malaysia mahupun di peringkat antarabang­sa,”katanya sambil menambah penyertaan dalam talian www.pangkordia­logue. com masih dibuka.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada majlis pembukaan dan pelancaran PD 2017 pada Isnin depan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga menganjurk­an Perak Festival of Ideas (PFoI) yang akan diadakan sempena PD 2017, bermula hari ini hingga 12 Sept yang berlangsun­g secara serentak di 20 lokasi seluruh Perak.

“Ia merupakan platform yang dapat mengumpulk­an semua idea-idea bernas yang dapat direalisas­ikan mengikut ketetapan dan kesesuaian iaitu menterjema­hkan idea- idea kepada tindakan.

“Kita menyasarka­n 10,000 idea daripada pengunjung kempen ini. Setiap pengunjung yang hadir di lokasi acara akan diberikan gegantung yang telah dipotong berbentuk segitiga dan mereka boleh senaraikan idea yang ada dan idea berkenaan akan dikumpul serta dianalisis untuk dibentang kepada kerajaan negeri,” kata Mazalan.

Kira-kira 70 acara yang akan diadakan termasuk forum, pameran, konsert, bengkel, pesta makan dan belon udara panas yang terdapat di beberapa lokasi antaranya Bulatan Amanjaya, Kinta Riverfront, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia