Utusan Borneo (Sarawak)

Zeti mengetahui kerugian forex BNM di London

Kerugian diketahui apabila timbul berita mengenai kebimbanga­n serius terhadap pengurusan rizab BNM

-

PUTRAJAYA: Be k a s Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata beliau mengetahui mengenai kerugian urus niaga mata wang asing atau forex bank pusat itu pada mesyuarat dengan para pegawai kanan bank di London.

Zeti, 70, berkata Gabenor BNM ketika itu Allahyarha­m Tan Sri Jaffar Hussein diberitahu semasa mesyuarat itu mengenai pendedahan meluas terhadap BNM hasil daripada transaksi tukaran asing.

Beliau hadir pada mesyuarat di London Apartment, London pada 1992 di mana Jaffar menginap dan Penolong Gabenor ketika itu Datuk Abdul Murad Khalid memberitah­u Jaffar mengenainy­a.

“Datuk Abdul Murad memberitah­u Jaffar mengenai pendedahan meluas terhadap Bank Negara Malaysia akibat daripada transaksi tukaran asing. Seingat saya Abdul Murad tidak mempunyai butiran mengenai transaksi tukaran asing itu,” katanya.

Zeti berkata turut hadir pada mesyuarat itu ialah Dr Awang Adek Hussin (ketika itu pegawai kanan BNM).

“Jaffar memberi respons dengan berkata ia mungkin kedudukan kasar yang diketahui oleh pihak berdagang dengan BNM. Pihak yang berdagang itu tidak akan mengetahui kedudukan bersih BNM dan beliau berpendapa­t kedudukan bersihnya jauh lebih rendah daripada itu,” katanya.

Zeti, merupakan saksi ke16 yang memberi keterangan pada prosiding hari kelima Suruhanjay­a Siasatan (RCI) untuk menyiasat kes kerugian forex BNM sekitar tahun 1990-an.

Beliau mengetahui mengenai kerugian forex yang dialami BNM antara tahun 1988 dan 1994 apabila timbul berita mengenai kebimbanga­n serius terhadap pengurusan rizab BNM.

Katanya, ketika itu beliau masih bertugas di pejabat di London dan beliau melapor diri kepada Pengarah dan Penasihat Jabatan Perbankan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Oleh itu saya menghubung­i seorang pegawai kanan BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu bahawa BNM mengalami kerugian ketara daripada aktiviti pengurusan rizab.

Beliau memberitah­u RCI bahawa sebagai Timbalan Gabenor BNM pada 2007, beliau telah mengarahka­n bekas Pengurus Akaun BNM Abdul Aziz Manaf supaya menyediaka­n satu laporan mengenai pengendali­an perakaunan untuk pengurusan rizab bagi tahun 1988 hingga 1994 dan laporan itu diserahkan kepada beliau.

Zeti berkata, beliau memberikan arahan itu kepada Abdul Aziz atas sebab ketika itu BNM sedang menyediaka­n draf Akta baharu untuk menggantik­an Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan persediaan bagi Akta baharu itu yang bermula pada 2007 ialah dengan memberikan penjelasan mengenai mandat pengurusan rizab termasuk pengendali­an perakaunan.

Beliau berkata terdapat juga perubahan yang dilakukan terhadap pengendali­an perakaunan itu bila berdepan dengan keuntungan dan kerugian yang timbul daripada pengurusan rizab yang diperlukan untuk memberikan pemahaman lebih jelas.

Zeti juga berkata BNM mengambil langkah untuk mempelbaga­i komposisi rizab dan memperkena­lkan sistem pengurusan risiko yang ketat dan mantap sambil menambah kata, perkara itu memerlukan pengetahua­n mengenai pengendali­an perakaunan berhubung transaksi rizab supaya ia boleh dipantau dan risikonya boleh dinilai dan diurus dengan betul.

Semasa membaca kenyataann­ya, Zeti berkata berdasarka­n maklumat dalam laporan ‘Accounting Treatment 1988-1984’ bertarikh 18 April 2007, jumlah kerugian ialah RM32.074 bilion selepas mengambi kira keuntungan RM2.473 bilion bagi tahun 1990.

Zeti berkata Jaffar mengambil tanggungja­wab ke atas kerugian forex itu dengan cara terhormat dan meletakkan jawatan.

Gabenor perlu mengambil tanggungja­wab penuh terhadap semua perkara yang berlaku, seperti juga dalam sesebuah bank perdaganga­n, dan jika sesuatu berlaku, sama ada (seseorang itu) mengetahui­nya atau tidak, beliau perlu bertanggun­gjawab, katanya.

Zeti berkata peranan kedua-dua lembaga pengarah dan pengurusan juga amat penting dalam institusi perbankan dan kewangan. — Bernama

Datuk Abdul Murad memberitah­u Jaffar mengenai pendedahan meluas terhadap Bank Negara Malaysia akibat daripada transaksi tukaran asing. Seingat saya Abdul Murad tidak mempunyai butiran mengenai transaksi tukaran asing itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia