Utusan Borneo (Sarawak)

Saya turut bertanggun­gjawab kerugian urus niaga mata wang

-

PUTRAJAYA: Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop semalam berkata memang berlaku kerugian urus niaga mata wang pada tahun 1986 sehingga 1993.

Katanya, kesilapan telah berlaku tetapi BNM telah mendapat pengajaran daripada pengalaman pahit itu dan pengajaran itu terbukti amat penting dalam membantu menggubal dasar-dasar untuk mempertaha­nkan negara daripada serangan terhadap mata wang dalam Krisis Kewangan Asia 1997/1998, menyelamat­kan ratusan bilion ringgit wang negara dan jika tidak sudah pasti hilang.

Nor Mohamed, 70, yang menyertai BNM pada September 1968 dan dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus Jabatan Perbankan dua tahun selepas itu, berkata beliau tidak pernah pada bila-bila masa di antara 1986 dan 1993 ada berbincang dengan menteri kewangan dan perdana menteri mengenai transaksi tukaran asing Bank Negara.

Beliau bagaimanap­un tidak ingat jumlah kerugian atau keuntungan dalam transaksi urus niaga mata wang pada tahun berkenaan.

“Memang tidak dinafikan. Juga tidak boleh dinafikan saya turut bertanggun­gjawab bagi kerugian urus niaga mata wang. Saya terima hakikat saya turut bertanggun­gjawab bagi kerugian urus niaga mata wang dan telah meletakkan jawatan daripada Bank Negara Malaysia.

“Pada ketika itu, pada saya ia merupakan pengakhira­n yang menyedihka­n dalam khidmat saya selama 25 tahun kepada negara, menerusi Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan saksi pada hari kelima prosiding Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang atau forex dialami Bank Negara pada 1990-an.

Nor Mohamed berkata perkara paling penting ialah pengalaman bertahun-tahun di unit forex telah terbukti amat berguna kemudianny­a dalam menyelamat­kan Malaysia daripada kesan teruk krisis kewangan pada 1997/1998, jika tidak tentunya mengakibat­kan kerugian bernilai berbilion Ringgit Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia