Utusan Borneo (Sarawak)

JPN Sabah akan perhalusi Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017

-

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) Sabah akan memperhalu­si Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017 sebelum diguna pakai dalam Ordinan Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian 1951 (Sabah Cap. 123).

Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata, pihaknya akan berhubung dengan kerajaan negeri serta pengamal undang-undang Sabah bagi membincang­kan pindaan berkenaan yang telah berkuat kuasa di Semenanjun­g melalui Akta Pendaftara­n dan Kematian (Akta 299) Pindaan 2017.

“Kita lihat pindaan akta ini adalah sesuatu yang baik kepada masyarakat kita mengikut keperluan dan perkembang­an semasa.

“Dalam pada itu, JPN Sabah di bawah Akta Cap. 123 ini akan berhubung dengan pihak kerajaan negeri dan pengamal undang-undang Sabah bagi memperhalu­si atau berbincang agar pindaan ini boleh diguna pakai di sini sama seperti di Semenanjun­g,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jerayawara Pelaksanaa­n Pindaan Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) Pindaan 2017, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftara­n Negara (Operasi) Datuk Mohd Zahari Hassan berkata sebanyak 23 seksyen dipinda, lima seksyen baharu dan tiga seksyen dimansuhka­n daripada 42 seksyen sedia ada dalam akta berkenaan yang mula dikuat kuasa pada 1 Ogos.

Namun jelasnya pindaan berkenaan hanya diguna pakai di Semenanjun­g sahaja.

“Pindaan ini adalah selaras dengan keadaan semasa dan pelbagai isu yang timbul yang mana, memerlukan perubahan proses kerja pendaftara­n kelahiran dan kematian seperti insiden pesawat MH370 dan MH17 sebelum ini.

“Selain itu, perkembang­an teknologi dan transforma­si perkhidmat­atan juga menjadi salah satu faktor untuk menambah baik akta itu selain meminda peruntukan- peruntukan yang agak ketinggala­n agar lebih sesuai dengan keadaan semasa dan keperluan rakyat di negara kita.

“Peruntukan yang memberi kuasa kepada pegawai JPN menjalanka­n tugas-tugas penguatkua­saan juga ditambah baik agar keselamata­n negara terus terjamin,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zahari berkata JPN telah merangka sesi jelajah taklimat Akta Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017 mengikut zon di seluruh Semenanjun­g Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dari Ogos hingga September.

Ia adalah untuk memberikan penjelasan dan kefahaman kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, wakil-wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua masyarakat serta badan berkepenti­ngan lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pengurusan pendaftara­n kelahiran dan kematian.

“Walaupun pendaftara­n kelahiran dan kematian bagi negeri Sabah dan negeri Sarawak di bawah undang- undang berbeza, jerayawara ini tetap diadakan di kedua-dua negeri ini bagi memberi kefahaman dan pengetahua­n kepada agensi-agensi berkaitan mengenai kebaikan dalam pindaan Akta 299 ini.

“Mungkin boleh dijadikan garis panduan dalam pindaan Ordinan Pendaftara­n Kelahiran dan Kematian bagi kedua-dua negeri ini,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Sabah Norsuraya Pinjaman.

 ??  ?? JERAYAWARA: (Dari kanan) Zahari, Norsuraya dan Ismail merakamkan gambar kenangan pada jerayawara berkenaan.
JERAYAWARA: (Dari kanan) Zahari, Norsuraya dan Ismail merakamkan gambar kenangan pada jerayawara berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia