Utusan Borneo (Sarawak)

Nadal selangkah untuk menjadi juara

-

NEW YORK: Rafael Nadal memerlukan satu lagi kemenangan untuk memenangi kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang ketiga dan mahkota Grand Slam ke-16 kelmarin selepas dia menewaskan Juan Martin del Potro 4-6, 6-0, 6-3, 6-2.

Pemain berusia 31 tahun dari Sepanyol itu, juara 2010 dan 2013 di New York, akan bermain dalam perlawanan akhir Slam ke-23 dan ketiga bagi dirinya pada tahun ini, dengan matlamat untuk menambah kejuaraan AS kepada Terbuka Perancis ke-10 yang dijuarainy­a.

Dalam perlawanan akhir pada hari ini (Ahad), pemain nombor satu dunia itu akan menentang pemain ranking ke-32, Kevin Anderson, warga pertama dari Afrika Selatan dalam tempoh 52 tahun untuk bermain dalam perlawanan kejuaraan.

Anderson mara ke peringkat akhir pertamanya di kejohanan utama dengan menewaskan pemain pilihan ke-12, Pablo Carreno Busta, dari Sepanyol 4-6, 7-5, 6-3, 6-4.

Bagi Del Potro, juara pada 2009, perlawanan kelmarin ternyata terlalu sukar selepas dia keletihan ekoran bebanan fizikal dan emosional ketika menewaskan Roger Federer dalam empat set pada pusingan sebelum ini.

“Saya menikmati musim yang menakjubka­n selepas beberapa waktu yang sukar dengan kecederaan sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Nadal, yang memulakan 2017 dengan menduduki tempat kedua di belakang Federer di Australia.

Nadal berkata kunci kepada kemenangan kelmarin adalah perubahan taktik selepas set pertama.

Walaupun rekod kemenangan 4-0 ke atas Anderson, Nadal berkata dia tidak akan memandang rendah lawannya pada hari ini.

Anderson, 31, akan berusaha untuk menjadi juara Slam pertama dari negaranya sejak Johan Kriek di Terbuka Australia pada 1981.

Cliff Drysdale merupakan lelaki Afrika Selatan terakhir dalam perlawanan akhir AS pada 1965 tetapi dia ditewaskan oleh Manuel Santana. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? TANGKAS: Sebahagian daripada aksi Nadal semasa menentang Del Potro pada aksi separuh akhir Terbuka AS di New York.
— Gambar Reuters TANGKAS: Sebahagian daripada aksi Nadal semasa menentang Del Potro pada aksi separuh akhir Terbuka AS di New York.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia