Pele puji tindakan Neymar sertai PSG
PARIS: Legenda Brazil Pele menganggap penghijrahan Neymar dari Barcelona ke Paris Saint-Germain (PSG) sebagai peluang untuk rakan senegaranya ‘menjadi bintang besar’, dalam satu temu bual dengan goal.com kelmarin.
Pele, yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali sebagai pemain dan menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kariernya, berkata ia adalah sesuatu yang baik untuk Neymar meninggalkan bayang-bayang bekas rakan sepasukan di Barca, Lionel Messi.
“Bagi Neymar, saya rasa ia (perpindahan ke PSG) adalah perkara terbaik,” katanya.
“Saya fikir ia adalah perkara terbaik kerana perbincangan sentiasa ada, ‘Neymar, Messi, Neymar, Messi’. Sekarang dia ada peluang untuk menjadi bintang besar.”
Neymar menghabiskan empat musim bersama Barcelona sebelum dia menyertai PSG yang berbelanja sakan dalam perpindahan rekod dunia bernilai 222 juta euro (RM1.07 bilion).
Penyerang berusia 25 tahun itu bermula di Santos, di mana Pele bermain bagi majoriti kariernya yang gilang-gemilang.
“Dia sekarang mempunyai tanggungjawab yang berat,” tambah Pele, 76.
“Kerana orang mula membandingkan Neymar dengan Messi. Dan sebagai seorang warga Brazil, saya berkata keraguan tiada bahawa Neymar adalah antara yang terbaik pada posisinya, kerana kita ada Cristiano Ronaldo yang juga seorang penyerang tengah.
“Namun dengan Messi, ia sedikit berbeza. Messi adalah seorang pengatur dan dia juga menjaringkan gol.” — AFP