Utusan Borneo (Sarawak)

Boling Terbuka: Adrian tepati ramalan juara Open Masters

-

KUCHING: Atlet kebangsaan, Adrian Ang menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Boling Terbuka Antarabang­sa Sarawak 2017 kategori Open Masters berakhir di Megalane Batu Kawa semalam.

Begitupun, ia bukan kemenangan mudah bagi atlet program Podium ISN itu apabila dicabar sengit rakan senegara dari skuad remaja kebangsaan, Mohd Hafiz Zainuddin dalam perlawanan satu lawan satu.

Adrian mengesahka­n kejuaraan selepas mencatat 224 jatuhan pin manakala Hafiz akur di tempat kedua dengan hanya perbezaan dua pin.

Selaku juara, Adrian menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM18,000 berserta piala cabaran dan iringan.

Hafiz merangkul RM10,000 dan piala manakala pemenang tempat ketiga, Tun Ameerul Luqman berpuas hati dengan RM5,000 serta piala.

“Sangat gembira kerana ini kali pertama datang ke Sarawak. Ia destinasi yang baik untuk pasukan negara mencari kejayaan.

“Kemenangan ini saya hadiahkan kepada anak perempuan saya (Aurelia Ang) yang baharu lahir pada 24 Julai lalu dan isteri yang sentiasa menyokong saya,” kata atlet berusia 29 tahun itu ditemui semalam.

Pemenang dua pingat perak pada Sukan SEA 2017 itu berkata, beliau hanya fokus membuat balingan yang baik dan tidak terlalu memikirkan untuk menang pada perlawanan final.

Jelasnya, Hafiz telah memberi cabaran sengit kepadanya dan beliau gembira melihat prestasi mendadak atlet berusia 17 tahun itu.

“Hafiz berpotensi besar, beliau masih muda dan saya sangat gembira kerana dapat bertanding dengannya.

“Sasaran saya selepas ini untuk memenangi pingat pada Kejohanan Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat dijangka diadakan pada penghujung November ini.

“Kita belum tahu siapa yang terpilih namun saya berharap tersenarai dalam skuad,” kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia