Teknologi jadi pemangkin gerakkan kewangan sebagai penyama sosial, kata Gabenor BNM
KUALA LUMPUR: Teknologi boleh menjadi pemangkin untuk menggerakkan kewangan sebagai penyama sosial yang penting pada masa depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia ( BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.
Menurutnya, ini adalah satu daripada lima pemerhatiannya mengenai perkara yang boleh membentuk pembangunan kewangan pada masa depan yang juga termasuk pengaruh data dan keperluan pengguna serta harapan kepada kewangan.
“Peningkatan dalam teknologi akan meningkatkan rangkuman kewangan dengan menangani asimetri kewangan serta mengurangkan kos memberi pembiayaan kepada kumpulan yang kurang mendapat kemudahan itu sebelum ini,” katanya pada Sesi Teh Tarik dengan Alumni Harvard Petronas di sini, kelmarin.
Muhammad berkata, peningkatan rangkuman kewangan boleh memberi akses kepada kira-kira dua bilion orang di seluruh dunia yang belum menikmati perkhidmatan bank, membolehkan mereka menyimpan, melabur dan meningkatkan punca pendapatan mereka.
Gabenor itu berkata, teknologi juga boleh mendemokrasikan kewangan pada masa depan yang akan membuka pelbagai kemungkinan untuk peserta baharu.
“Pada masa depan, kelebihan daya saing akan datang daripada mereka yang dapat memanfaatkan kuasa teknologi dan cukup berani untuk meneroka wilayah baharu,” katanya.
Menurutnya, data boleh menjadi penentu kewangan kerana syarikat yang berupaya mengawal dan memanfaatkan data bagi menghasilkan pengalaman pelanggan yang lebih baik, akan memiliki kelebihan terbesar.
“Untuk sektor kewangan, ini mungkin menandakan peralihan mantera yang menarik pada masa depan daripada ‘wang tunai adalah raja’ kepada ‘data adalah raja’,” katanya.
Selain teknologi, katanya, peralihan keperluan dan harapan pengguna akan juga memainkan peranan penting dalam revolusi kewangan serta model kewangan dan perniagaan perlu dibangunkan semula berdasarkan perubahan dalam gaya hidup dan harapan pengguna.
“Contohnya, perbankan mudah alih dalam erti kata tradisionalnya tidak lagi berfungsi di negara ini kerana penembusan telefon pintar adalah agak tinggi dan orang ramai secara umumnya boleh menerima idea dan inovasi baharu,” katanya.
Muhammad juga berkongsi pendapat mengenai kemungkinan senario kewangan masa depan, antara lain dikenali sebagai ‘Penjawat Cerdik Teknologi’ di mana tahap penggunaan teknologi oleh bank penjawat adalah tinggi manakala tahap fragmentasi dalam kalangan penyedia kewangan adalah rendah.
“Dalam senario ini, walaupun tidak akan melihat perubahan ketara dari segi pemain dalam sistem kewangan kita, fungsi dan cara di mana mereka menjalankan perniagaan akan menjadi berbeza dengan ketara,” katanya.
Satu senario lagi, katanya, dipanggil ‘ Plugged- in Finance’ di mana penggunaan teknologi oleh bank penjawat dan fragmentasi dalam kalangan penyedia kewangan adalah tinggi.
“Dalam senario ini, pendidikan dan celik huruf kewangan yang lebih tinggi adalah penting bagi memastikan manfaat teknologi dan inovasi dalam sektor kewangan direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Satu lagi senario yang mungkin berlaku, katanya, ialah ‘Peserta Baharu’ di mana penggunaan teknologi oleh bank penjawat serta fragmentasi dalam kalangan penyedia kewangan adalah agak rendah.
“Implikasinya ialah landskap kewangan akan kekal dipenuhi oleh bank, tetapi baka baharu bank digital akan mendapat manfaat yang besar,” katanya.
Satu lagi senario yang mungkin berlaku, katanya, ialah “Tech take- over’ di mana penggunaan teknologi oleh bank penjawat adalah rendah, dengan tahap fragmentasi tinggi dalam kalangan penyedia kewangan. — Bernama