Golden Land bangun projek pembangunan bercampur RM8.9 bilion di Melaka
KUALA LUMPUR: Golden Land Property Development (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan CCCC Third Harbor Consultants Co. Ltd (CCCC) dan Fleur Capital untuk membangunkan Cheng Ho City, projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.9 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Golden Land, H. S. Sheon berkata projek tersebut akan dibina dalam tiga fasa di plot seluas 121.4 hektar di Alor Gajah, Melaka, bermula pada 2018 dan dijadualkan siap dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau berkata fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan Pusat Kebudayaan Pelancongan Cheng Ho di tanah seluas 40.47 hektar, dengan GDV sebanyak RM1.9 bilion terdiri daripada Cheng Ho Walk, Cheng Ho Co. Hotel, kondominium perkhidmatan, premium village dan resort.
Bercakap kepada Bernama selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian usaha sama itu antara Golden Land dan dua syarikat di sini hari ini, Sheon berkata fasa pertama dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kami akan memulakan pembinaan sebaik proses perintah pembangunan kami selesai dalam tempoh setahun dari sekarang, dan kami menjangka untuk memulakan fasa kedua pada 2019,” katanya.
Di bawah usaha sama itu, CCCC akan bertanggungjawab bagi reka bentuk pembangunan fasa pertama, kerjakerja teknikal dan pelantikan kontraktor yang sesuai bagi projek tersebut.
Beliau berkata Golden Land merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada Januari 2019 melalui pengambilalihan berbalik atau melalui tawaran awam permulaan.
“Kami telah melantik sebuah syarikat profesional untuk melihat pelan kami bagi penyenaraian,” katanya, sambil menambah syarikat turut merancang untuk disenaraikan di Bursa Saham London menjelang 2021. — Bernama