Kekuatan berkurangan, Katia badai Veracruz
KOTA MEXICO: Taufan Katia kelmarin membadai berhampiran pusat peranginan pantai golongan buruh Tecolutla di wilayah Veracruz, pantai Teluk Mexico, menurut Pusat Taufan Negara AS (NHC).
Ia kehilangan kekuatannya sebelum mendarat kira-kira 185 kilometer barat laut dari bandar pelabuhan Veracruz sebagai ribut kategori 1 dengan angin sekuat 120 kilometer sejam.
Ribut dijangka semakin lemah keesokan harinya, menurut NHC.
Kategory 1 merupakan bahagian taufan paling lemah dalam skala NHC, sementara kategori 5 paling kuat.
Ribut kategori 3 dan ke atas dinamakan taufan utama.
Sekarang terdapat tiga taufan di Atlantik.
Taufan Irma, salah satu ribut Atlantik paling kuat dalam tempoh satu abad, membadai Cuba kelmarin sebagai ribut kategori 5.
Berjuta- juta penduduk Florida telah diarahkan untuk berpindah selepas ribut itu membunuh 21 orang di timur Caribbean dan meninggalkan kemusnahan teruk.
Taufan Jose pula terus mengumpul kekuatan jauh di Atlantik dan sedang menghampiri kekuatan kategori 5 ketika bergerak kira-kira 700 kilometer timur– tenggara dari Kepulauan Leeward Utara.
Pegawai negeri Veracruz menyatakan kelmarin bahawa ribut akan menyebabkan tanah runtuh dan banjir, sekali gus menggesa penduduk di bawah bukit dan cerun agar sedia berpindah. — Reuters