Penjarahan, cuaca buruk jejas Caribbean
Britain, Perancis dan Belanda menyelaras usaha bantuan kecemasan ke wilayah luar pantai
POINTE—PITRE: Angin kuat dan cuaca buruk mengganggu usaha bantuan kecemasan bagi pulaupulau yang dilanda taufan di Caribbean kelmarin ketika pihak berkuasa tempatan cuba menghantar bantuan dan menghalang penjarahan.
Dua hari selepas Taufan Irma melanda bahagian timur Caribbean, membunuh sekurang- kurangnya 17 orang dan memusnahkan ribuan rumah, beberapa pulau berdepan serangan kedua daripada Taufan Jose pada hujung minggu ini.
Beberapa pegawai di pulau Guadeloupe, di mana usaha bantuan Perancis telah diselaraskan, menangguhkan bot yang menyeberangi ke wilayah yang teruk terjejas di St Martin dan St Barts di mana sebelas terbunuh.
Jose, yang menjadi taufan kategori 4, membawa angin sehingga 125 batu sejam, akan melepasi kira-kira 100 kilometer di utara St Martin semalam, menurut agensi meteorologi Perancis.
Agensi tersebut telah meletakkan kedua-dua pulau Caribbean dalam amaran merah, memberi amaran peningkatan ribut antara lima dan tujuh meter.
“Keadaan cuaca semakin merosot,” menurut pihak pentadbiran tempatan Guadeloupe.
Jose mara pada laluan yang sama ketika Irma menuju ke St Martin, Anguilla, Barbuda dan di antara lainnya Kepulauan Virgin milik Britain.
Seperti Perancis dan Belanda, yang mana wilayah Caribbean ini merupakan legasi pemerintahan koloni, Britain turut menghantar kapal tentera laut, anggota tentera dan bekalan bagi membantu dalam usaha bantuan di wilayah ini.
Ratusan anggota polis bantuan dan pasukan penyelamat mulai tiba di St Martin, pulau yang terpisah di antara Perancis dan Belanda, di sebalik laporan penjarahan serta kekurangan air, makanan dan minyak.
Seorang jurugambar AFP melihat sekumpulan kira-kira 12 memecah masuk sebuah pasar raya mini di kawasan Quartier-d’Orleans di pulau tersebut Khamis lepas.
Akhbar Belanda Algemeen Dagblad kelmarin memetik seorang saksi sebagai menyatakan penjarah bersenjatakan pistol dan parang berkeliaran di jalanan.
Menteri Wilayah Luar Pantai Perancis Annick Girardin melaporkan menyaksikan sendiri penjarahan semasa lawatannya Khamis lepas ke St Martin, di mana majoriti daripada 80,000 penduduk telah kehilangan rumah mereka.
Dua lelaki, seorang daripadanya pegawai baharu dalam pasukan polis sempadan, ditangkap semalam ketika sedang mencuri peralatan bot, menurut pihak polis kelmarin.
Menteri Dalam Negeri Belanda Ronald Plasterk menyatakan dua maut dan 43 cedera, 11 daripadanya parah, di Saint Martin Belanda, sementara Perancis menyatakan sembilan maut di bahagiannya di pulau tersebut dan di St. Barts. — AFP