JKKK harus mementingkan aspek keselamatan rumah
ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak menggesa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya mementingkan aspek keselamatan rumah.
Menurutnya, adalah wajar penduduk di sesebuah kawasan JKKK bekerjasama mengawasi sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan kebakaran berlaku.
“Oleh itu, kita harap mereka menubuhkan Jawatankuasa Pencegah Kebakaran di kawasan masing-masing.
“Ibu bapa diingatkan mengawasi pergerakan anak-anak kecil mereka agar tidak bermain mancis dan benda yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya pada penutupan Program Bomba Komuniti anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Lubok Antu di Rumah Entu Nawin, Klampo Engkilili di sini kelmarin.
Katanya penubuhan Jawatankuasa Pencegah Kebakaran tersebut amat penting kerana secara tidak langsung ia bertindak mengawasi se- barang punca kebakaran.
Beliau turut menggesa penduduk meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi lain mengendalikan pelbagai program latihan berkaitan pencegahan kebakaran.
“Usaha seperti itu mampu memberi latihan asas kepada penduduk mengawal dan mencegah kebakaran daripada memusnahkan tempat kediaman mereka.
“Sebelum kejadian kebakaran berlaku, kita harus mengambil langkah awal,” katanya.
Hadir sama Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman Geoffrey Baja, Kaunselor Zainie Aji, Kaunselor Masir Bitin serta yang lain.
Nyalau turut menyumbang 20 unit alat pemadam api kepada JKKK Rumah Entu, Klampo serta mengumumkan peruntukan berjumlah RM7,000 dan RM5,000 kepada JKKK dan Biro Wanita.
Dianggarkan 300 penduduk rumah panjang berdekatan turut serta dalam program itu dan ceramah disampaikan Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman Jilin Itar.