Utusan Borneo (Sarawak)

Hari UNESCO Malaysia komitmen terhadap kemakmuran sejagat

-

RANAU: Sambutan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) di peringkat kebangsaan menjadi wadah negara untuk kekal komited terhadap kemakmuran sejagat, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, komitmen Malaysia terhadap misi UNESCO itu dizahirkan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) dan penubuhan tabung Malaysia-UNESCO Funds-inTrust (MFIT) yang menjadi platform negara berkongsi kepakaran teknikal bersama negara anggota UNESCO.

“Sehingga tahun ini, bibit kerjasama MUCP- MFIT, yang dimeterai pada 2009, telah melaksanak­an 19 projek meliputi spektrum kompetensi UNESCO iaitu pendidikan, saintifik dan kebudayaan.

“Malaysia percaya asas kepada keamanan global yang lestari adalah daripada perkongsia­n ilmu,” kata Mahdzir selaku presiden Suruhanjay­a Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) ketika melancarka­n sambutan Hari UNESCO Malaysia 2017 di Kundasang dekat sini, semalam.

Katanya, penganjura­n peringkat kebangsaan sambutan itu sejak 2011 memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kerjasama erat antara Malaysia dan UNESCO sejak 1958, khususnya dalam mencapai Matlamat Pembanguna­n Mapan (SDG).

Terdahulu, Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dalam ucapannya berkata pengisytih­aran Taman Negara Kinabalu di kaki Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menuntut masyarakat setempat untuk memberi penerangan yang betul kepada pengunjung mengenai adat di gunung tertinggi di Malaysia itu.

Menurutnya, masyarakat setempat lebih memahami adat setempat dan harus memainkan peranan dalam berhubung dengan pengunjung.

“Tahun lepas, Sabah menerima kira-kira 3.4 juta pelancong, yang mana separuh daripada jumlah itu datang ke Taman Kinabalu untuk melihat Gunung Kinabalu.

“Masyarakat setempat yang majoritiny­a daripada kaum Dusun boleh memainkan peranan untuk mendidik pelancong mengenai adat, bahasa dan usaha pemelihara­an alam sekitar di kawasan ini,” katanya.

Masidi berkata kerajaan Sabah sentiasa berusaha untuk memulihara dan mengekalka­n alam semula jadi di negeri ini agar generasi masa depan dapat mengalamin­ya seperti yang dinikmati generasi sekarang.

Pengarah Biro Sains UNESCO Wilayah Asia dan Pasifik Dr Shahbaz Khan berkata rakyat di negara ini harus berasa bertuah kerana mempunyai banyak kawasan yang digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Mulu, Warisan Arkeologi Lembah Lenggong dan Bandar Bersejarah Melaka serta George Town, selain Taman Negara Kinabalu.

“Pengisytih­aran Tapak Warisan Dunia bermakna tapak-tapak ini adalah milik dunia.

“Tentunya, ia akan menggalakk­an ramai dari seluruh dunia datang ke Malaysia untuk mengagumi Tapak Warisan Dunia ini, sekaligus membantu sektor pelanconga­n negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia