Utusan Borneo (Sarawak)

Suu Kyi perlu guna status pejuang kemanusiaa­n selamatkan Rohingya

-

PUTRAJAYA: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi digesa menggunaka­n pengalaman sebagai pejuang demokrasi dan kemanusiaa­n untuk menghentik­an jenayah kemanusian terhadap etnik Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai pemimpin yang pernah diberikan Hadiah Nobel Keamanan, Suu Kyi tidak boleh lagi berdiam diri dan menjadikan pengiktira­fan itu sebagai sesuatu yang tidak bermakna kepada dunia.

“Jika dahulu beliau boleh berjuang untuk demokrasi, liberalisa­si dan demokrasi hingga diiktiraf dunia, pemimpin itu sepatutnya menterjema­hkan perjuangan tersebut kepada isu Rohingya, yang sedang berlaku di negaranya sendiri.

“Pengiktira­fan yang diberikan dunia itu harus disertakan dengan tindakan yang sejajar sehingga dia diberikan anugerah tersebut, bukannya sekadar ‘patungan’ untuk dilihat dunia sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid membuat gesaan itu ketika berucap pada majlis penutupan program Merdeka Rides 2017 anjuran Persatuan Superbiker­s Ma- laysia (SAM) di sini yang turut disertai penunggang dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei, semalam.

Timbalan perdana menteri berkata ketika negara lain menunjukka­n keprihatin­an terhadap nasib masyarakat Rohingya melalui pelbagai bantuan yang dihulurkan, masyarakat dunia juga sedang menunggu tindakan sama daripada pemimpin tersebut.

Beliau perlu segera terjemahka­n perasaan yang dikongsi dunia dengan melakukan sesuatu, yang selayaknya dipamerkan sebagai pemenang anugerah Nobel, katanya.

Suu Kyi menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991, iaitu ketika beliau dikenakan tahanan rumah selepas tindakanny­a menentang pemerintah­an junta tentera di Myanmar bagi memperjuan­gkan demokrasi dan hak asasi manusia di negara itu.

Dalam hal sama, Ahmad Zahid menggesa bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan memainkan lebih peranan menyeru pertubuhan antarabang­sa yang lain untuk menunjukka­n keprihatin­an membela nasib etnik Myanmar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia