Utusan Borneo (Sarawak)

Kesempatan jelaskan isu Rohingya: Duta Malaysia

-

WASHINGTON DC: Kuala Lumpur mahu memperkuku­hkan lagi hubungan dua hala enam dekad dijalin dengan Washington dan mencartaka­n hala tuju apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melangkah masuk ke Pejabat Oval pada Selasa untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Dan dengan semua mata kini tertumpu pada musibah yang berlaku di negeri Rakhine, Myanmar, pertemuan di Rumah Putih itu menyediaka­n peluang terbaik untuk Malaysia membangkit­kan penderitaa­n pelarian Rohingya kepada negara kuasa besar itu.

Ini antara perkara yang disentuh oleh Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique semasa memberikan taklimat kepada media menjelang lawatan kerja Najib ke Amerika pada 11-13 Sept atas undangan Presiden Trump.

Ia juga membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendiriann­ya dalam soal antikegana­san dan peranan dimainkann­ya dalam usaha memerangi keganasan, dan turut berkongsi kebimbanga­n dengan negaranega­ra lain seperti Amerika berhubung masalah itu.

“Lawatan ini membuka peluang kepada perdana menteri untuk menekankan kepentinga­n Malaysia dalam perjuangan menentang keganasan, sebagai suara kesederhan­aan dan pragmatism­e serta sebagai negara majoriti Muslim yang dinamik dan progresif,” kata Zulhasnan.

Mengulas lanjut, Zulhasnan berkata Najib dijangka membawa isu masyarakat tertindas Rohingya bukan sahaja dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Trump malah semasa perbincang­an dua hala antara kedua-dua kerajaan.

Kuala Lumpur memandang berat masalah penindasan terhadap etnik Rohingya dan memberi komitmen untuk membantu menangani krisis pelarian kaum itu yang kini dilaporkan mencecah 500,000 orang di Bangladesh, negara jiran Myanmar.

Lawatan kerja Najib itu menjadikan beliau pemimpin kedua daripada Asia Tenggara selepas Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc untuk mengadakan pertemuan di Rumah Putih. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia