Utusan Borneo (Sarawak)

Kamera AES tumbang angkara khianat

-

TANGKAK: Sebuah kamera Sistem Penguatkua­saan Automatik (AES) di Kilometer ( KM) 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, tumbang disyaki angkara perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata, kejadian itu disedari pada jam 9.35 pagi semalam oleh pekerja syarikat penyelengg­ara peralatan terbabit di tempat kejadian.

“Sebuah kereta peronda lebuh raya yang membuat rondaan dari Ayer Keroh ke Johor Bahru bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati tiang kamera AES terbabit telah tumbang dan beberapa komponen di dalam alat terbabit dipercayai dicuri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata sehingga kini, polis masih mengesan pihak tidak bertanggun­gjawab yang melakukan perbuatan khianat tersebut dan pihaknya percaya kegiatan itu mungkin dilakukan pada waktu malam.

Mohad Idris berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu pihak polis.

Pada Jun lalu, kamera AES yang dipasang di kawasan pentadbira­n Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak itu antara perangkap had laju terkini yang dipasang pihak berkuasa.

Sebuah lagi kamera AES yang berada berdekatan lokasi tersebut adalah di KM 146.8 menghala selatan dan difahamkan kamera berkenaan tidak terlibat dalam perbuatan khianat itu serta masih beroperasi seperti biasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia