Utusan Borneo (Sarawak)

K’jaan negeri dinasihat tidak lepaskan tanah pertanian bagi tujuan komersil

-

TASEK GELUGOR: Semua kerajaan negeri dinasihatk­an agar tidak melepaskan tanah pertanian sedia ada bagi tujuan-tujuan lain termasuk untuk komersil.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah mustahak mempertaha­nkan tanah pertanian yang menjadi sumber penting negara terutama dalam aspek pembekalan makanan.

“Kita mintak kerajaan negeri supaya tidak cepat melepaskan tanah pertanian untuk tujuan-tujuan lain. Kita jangan mengalah, kita jangan hanya menganggap tanah pertanian ini dari segi pulangan sedikit. tetapi lihat dalam konteks masa depan kita seperti makanan, tanah pertanian tidak semestinya untuk tanaman bahan padi tetapi untuk tanaman-tanaman lain yang diperlukan untuk negara kita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 #JOMPIBENDA­NG di Perkaranga­n Dewan Kelompok Padi, Permatang Tiga di sini semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata mengikut rekod, kerajaan negeri Pulau Pinang tersenarai dalam antara negeri yang ingin menukarkan syarat tanah pertanian kepada tanah pembanguna­n bagi tujuan pengkomers­ilan.

“Kita turut meminta kerajaan negeri untuk dapat bersama-sama dengan kami ( kerajaan persekutua­n) untuk memikirkan apa yang terbaik bagi tujuan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata program GTN merupakan satu program yang mengiktira­f golongan petani dengan tidak hanya menganggap pergi ke bendang (sawah padi) hanya sinonim untuk orang kampung sahaja.

“Program ini merupakan program yang menyemarak­kan inspirasi anak muda , saya kagum ramai anak muda turun ke sawah padi dan saya saya melihat dalam program ini pertanian bukan sebagai satu aktiviti tetapi aspek keusahawan­an yang diterapkan. Ada anak muda tadi yang mendapat hasil 9.5 tan pada satu hektar tanah,

“Purata negara pun dalam lima tan, tapi bila mereka sudah mencebur mengikut kaedah-kaedah yang betul, terbukti bahawa tanah kita ini boleh dihasil dengan jumlah besar dan purata ini lebih besar dari negara-negara lain termasuk negara jiran kita yang jadi pengeluar terbesar. Jadi ini adalah program berinspira­si kepada golongan muda dan kita mengiktira­f mereka dan pergi ke bendang itu bukan hanya untuk orang kampung sahaja,” katanya.

Beliau turut menegaskan agar sawah padi sentiasa dipertahan­kan dan dikekalkan dan menyeru masyarakat agar tidak memandang enteng kepada pekerjaan pesawah padi.

Pada majlis itu juga Ahmad Shabery menyampaik­an geran dan pinjaman bernilai lebih RM11 juta kepada 11 projek diusahakan masyarakat tani di negeri ini dan turut menyampaik­an sijil kepada lepasan Sekolah Ladang Petani Siri 3/2017. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia