Bob, Amir Jahari antara 12 peserta terpilih ke AF Megastar
DUA bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) yang berasal dari Sarawak iaitu Bob dan Amir Jahari merupakan antara 12 peserta yang terpilih pada malam Ahad lepas untuk bersaing di konsert AF Megastar.
Turut terpilih adalah Idayu, Syamel, Adira, Indah, Marsha, Shahir, Amir, Sufi, Azhar dan Ewal selepas berentap selama dua minggu bersama 12 lagi bekas bintang AF yang lain dalam dua Konsert Homecoming AF Megastar.
Sementara mereka yang gagal mara ialah Rosma, Anding, Adam, Amylea, Nubhan, Aril, Ara, Zahid, Faizal, Mila, Faizul dan Firman.
Senarai peserta akhir diumumkan oleh pengacara Datuk Aznil Hj Nawawi di penghujung Konsert Homecoming kedua yang disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (135).
Bob, Amir Jahari dan 10 lagi bintang lain yang terpilih itu akan berentap di Konsert AF Megastar yang akan bermula secara rasmi pada 17 September depan dan bakal berlangsung selama enam minggu di lokasi yang sama.
Persembahan peserta dinilai sepenuhnya oleh juri tetap iaitu pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan penyanyi serta pensyarah muzik, Syafinaz Selamat serta juri jemputan Ziana Zain.
Nasib 12 bintang AF Megastar akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 60 peratus oleh juri profesional manakala 40 peratus lagi akan ditentukan berdasarkan undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara ‘online’ di laman web rasmi www. afmegastar.com.my.
Bintang yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Talian untuk menghantarkan undian mula dibuka sejurus tamat Konsert Homecoming kedua pada Ahad lepas dengan cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Juara AF Megastar bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian.
AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam selain boleh juga ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.
com.my/