Utusan Borneo (Sarawak)

Imigresen akur dasar kerajaan berhubung kemasukan Rohingya

-

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan akur dengan ketetapan kerajaan berhubung kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini, kata Ketua Pengarahny­a Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, bagaimanap­un ketetapan itu hanya untuk mereka yang melarikan diri daripada krisis di Myanmar bukan bagi pelarian ekonomi yang mahu mencari pekerjaan di negara ini.

“Jabatan Imigresen adalah sebuah agensi pelaksana yang akan mengikut apa juga ketetapan sama ada pelarian etnik Rohingya dibenarkan masuk atau tidak. Selama ini, kalau mereka etnik Rohingya atau warga Myanmar yang datang ke negara secara haram, maka JIM akan membuat tangkapan.

“Tangkapan itu dibuat kerana ada warga Myanmar tanpa dokumen tetapi ada juga segelintir daripada mereka ada kad Pesuruhjay­a Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya pada sidang media selepas mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM, di sini semalam.

Kelmarin, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, Malaysia bersedia menerima lebih ramai pelarian Rohingya ke negara ini susulan keadaan yang semakin meruncing di Myanmar.

Setakat ini, sebanyak 56,000 kad UNHCR telah dikeluarka­n kepada pelarian Rohingya yang memberikan kebebasan untuk mereka tinggal di negara ini.

Ditanya sama ada JIM akan mengambil tindakan terhadap 44 etnik Rohingya yang ditahan polis semasa mengadakan perhimpuna­n haram di Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu, Mustafar berkata perkara itu akan ditangani selepas siasatan polis selesai. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? IKRAR: Mustafar (tengah) turut sama membacakan ikrar pada majlis Ikrar Bebas Rasuah di Jabatan Imigresen semalam.
— Gambar Bernama IKRAR: Mustafar (tengah) turut sama membacakan ikrar pada majlis Ikrar Bebas Rasuah di Jabatan Imigresen semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia