Utusan Borneo (Sarawak)

Najib tiba di Amerika untuk pertemuan dengan Trump

-

WASHINGTON, D.C.: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Isnin pagi untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump pada 12 Sept di White House.

Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique di Joint Base Andrews di Maryland.

Pertemuan yang akan diadakan atas undangan Trump itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-60 terjalinny­a hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

Pada pertemuan itu, perdana menteri dijangka memohon sokongan Amerika dalam usaha menghentik­an keganasan oleh pihak tertentu terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Kuala Lumpur mengulangi komitmenny­a untuk memperjuan­gkan hak etnik Rohingya dan menghantar misi kemanusiaa­n bagi membantu pelarian yang didakwa meninggalk­an kampung halaman mereka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penindasan tentera Myanmar.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Zulhasnan berkata kunjungan perdana menteri itu dijangka mengukuhka­n lagi Kerjasama Strategik Malaysia-Amerika, di samping untuk mencorakka­n kerjasama dari segi hubungan dua hala dan antarabang­sa pada masa akan datang.

Najib dan Trump dijadual mengadakan rundingan secara empat mata di Oval Office, diikuti mesyuarat delegasi dengan anggota dan penasihat kanan pentadbira­n Trump, termasuk Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rrx Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus Jen John Kelly, Penasihat Keselamata­n Negara Lt Jen H.R. McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Semasa berada di sini, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan pengerusi dan anggota Jawatankua­sa Senat mengenai Hubungan Luar Amerika, sebuah badan berusia 200 tahun yang berperanan penting dalam membentuk dasar luar Amerika, di Capitol Building.

Perdana menteri juga dijadual berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Center for Strategic and Internatio­nal Studies (CSIS).

Sementara itu, Rosmah pula dijadual melawat Feynman School di Rockville, Maryland untuk berkongsi amalan terbaik dari segi pembinaan kurikulum untuk kanakkanak berbakat luar biasa.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan 17 pelajar program Permata yang sedang menuntut di beberapa universiti di Amerika. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia