Utusan Borneo (Sarawak)

SHG: Masa depan cerah asalkan penghuni insaf, tidak ulangi kesilapan

-

KENINGAU: Timbalan Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri Dato Seri Mustafa Ibrahim berkata, para penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG) masih mempunyai masa depan yang cerah jika mereka insaf dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

Katanya, jika dihitung, ramai bekas penghuni SHG yang sudah berjaya dalam pendidikan malah ada yang sudah memegang jawatan tinggi dalam perkhidmat­an awam tetapi individu terbabit tidak didedahkan atas faktor dasar kerajaan yang perlu dipatuhi.

“Justeru, ibu bapa dan ahli keluarga penghuni SHG jangan berasa bimbang apabila ada anak atau ahli keluarga yang menghuni di sekolah ini kerana setiap penghuni mendapat penjagaan dan diberi pendidikan bukan sahaja dari segi akademik dan kemahiran tetapi juga pendidikan rohani mengikut agama yang dianuti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika beramah mesra dengan beberapa penghuni SHG dan ibu bapa yang melawat sempena Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidiladha dan lawatannya ke SHG di sini pada Sabtu.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Datuk Seri Zulkifli Omar.

Pada sesi ramah mesra itu, Mustafa menemui dan memberi motivasi kepada penghuni SHG bersama ibu bapa mereka.

Terdahulu dalam taklimatny­a, Pengarah SHG Keningau Johari Md Yatim berkata pusat itu di sini kini mempunyai seramai 168 penghuni terdiri 136 lelaki dan 32 perempuan.

Katanya, kebanyakan penghuni adalah mereka yang terlibat dengan penyalahgu­naan dadah dan pesalah jenayah seperti kes curi dan ada juga yang terlibat kes bunuh.

Bagaimanap­un katanya, apabila mereka sudah menjalani pemulihan di sekolah ini mereka insaf dan berjaya dalam akademik.

“Ia terbukti dengan pencapaian keputusan peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malayaia (SPM) 2016 di mana SHG Keningau mendapat keputusan lulus 100 peratus dan seorang pelajar mendapat keputusan 6A, sekali gus me- letakkan SHG Keningau terbaik antara Sekolah Henry Gurney di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, ibu bapa hadir pada sesi ramah mesra rata-rata melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada pihak pengurusan SHG kerana telah mendidik dan menjaga anak mereka dengan baik.

Seorang ayah penghuni SHG yang berbual dengan Mustafa, berterima kasih kepada pengurusan SHG kerana telah memberi kesedaran kepada anaknya untuk balik ke pangkal jalan.

“Sebelum ini, saya merasa tidak mempunyai harapan lagi anak saya akan balik ke pangkal jalan tetapi apabila menjadi penghuni SHG Keningau, dia kini mengalami perubahan sikap yang positif,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pengurusan SHG adalah terbaik dari peringkat bawahan ke peringkat atasan.

Hadir masa pada majlis itu ialah ahli perniagaan Datuk Yap Yun Fook, Pengarah Penjara Sabah Timbalan Komisioner Penjara Suria Idris dan para pegawai kanan Jabatan Penjara dan Sekolah Henry Gurney.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia