Utusan Borneo (Sarawak)

ROHINGYA KE SERIAN DAN BAU, BERITA PALSU

-

KUCHING: Kabinet persekutua­n memberi jaminan tidak akan berlaku penempatan pelarian Rohingya di Serian dan Bau, malah ia merupakan berita palsu yang disebarkan media sosial baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat kabinet di Kuala Lumpur semalam memberi jaminan itu.

“Mesyuarat kabinet hari ini (Rabu) memberi komitmen dan jaminan pelarian Rohingya di Malaysia tidak akan dihantar ke Bau dan Serian seperti yang dilaporkan beberapa akhbar selepas isu menjadi viral di media sosial,” katanya menerusi kenyataan akhbar, semalam.

Isu penempatan itu dibawakan oleh beliau sendiri yang juga Ahli Parlimen Serian.

Riot berkata lagi, Timbalan Perdana Menteri meminta orang ramai agar tidak percaya dengan berita palsu itu.

“Beliau meminta mereka yang mendapat berita sedemikian menerusi media sosial agar melaporkan kepada pihak berkuasa (polis), supaya siasatan terperinci boleh dilakukan,” katanya.

Mengulas mengenai isu sama, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau hairan bagaimana isu tersebut timbul sedangkan tidak ada maklumat sahih diterima.

“Siapa yang mulakannya (perbahasan di media sosial). Itu yang saya hairan,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Persidanga­n Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Baru- baru ini, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong membantah penempatan semula pelarian Rohingya di Serian dan Bau.

Beliau diminta mengulas mengenai ura-ura yang disebarkan di media sosial dan seterusnya menjadi perbahasan pengguna media sosial.

Ribuan Rohingya menjadi pelarian bagi mengelakka­n keganasan di Myanmar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia