Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lelaki samun wanita Filipina diarah reman

-

MIRI: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes samun terhadap seorang wanita Filipina pagi Isnin lalu diperintah Mahkamah Majistret supaya direman lima hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kedua-dua suspek berusia 42 dan 23 tahun dari Piasau Jaya Fasa 2 di sini diperintah­kan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan pegawai penyiasat, pada 11 September lalu, seorang wanita Filipina yang bekerja sebagai tukang urut telah membuat laporan polis dengan mendakwa disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Dalam aduannya, pengadu, 30, mendakwa sekitar jam 12.15 pagi, ketika hendak mengeluark­an wang menerusi sebuah mesin ATM di sebuah bank di Jalan Bendahara di sini, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki masing-masingnya memakai helmet.

Dua lelaki terbabit terus meminta wang daripada pengadu sambil memeriksa badan pengadu sebelum melarikan wang tunai RM500 dan satu unit telefon bimbit milik pengadu.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3 pagi, 12 September lalu, sepasukan polis telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Kampung Lereng Bukit di sini.

Dalam serbuan itu, polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun tersebut.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah motosikal berserta anak kunci, dua biji helmet dan satu unit telefon bimbit untuk dijadikan barang kes.

Hasil penangkapa­n suspek pertama, telah membawa kepada penangkapa­n suspek kedua sekitar jam 4 pagi hari sama di sebuah rumah di kawasan Piasau Jaya Fasa 2 di sini.

Dalam permohonan lanjutnya, pegawai penyiasat memberitah­u reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek amat diperlukan untuk membolehka­n polis menjalanka­n siasatan terperinci berhubung kes ini.

Tambahan polis masih memerlukan masa untuk merampas barang kes dan membebaska­n mereka lebih awal akan menjejaska­n siasatan lanjut polis.

Bagaimanap­un, Majistret Zuraini Ali Musa hanya membenarka­n reman lima hari sehingga 17 September ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia