Utusan Borneo (Sarawak)

Warga asing mengaku tidak bersalah simpan pasport curi

-

MIRI: Seorang lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin terhadap tuduhan menyimpan satu pasport curi.

Nizam Adam, 35, dari Sulawesi, Indonesia dituduh menyimpan harta curi iaitu sebuah pasport Filipina kepunyaan Rowel David Millado.

Dia melakukan kesalahan itu pada jam 3.05 petang, 1 September lalu di hadapan sebuah kedai di Desa Indah 2, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tertuduh, mahkamah menetapkan 26 September untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh diperintah­kan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Sementara dalam kes berasingan, mahkamah turut menetapkan 19 September ini untuk sebutan lanjut bagi kes tertuduh yang didakwa masuk ke negeri ini secara haram.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh bukan merupakan warganegar­a Malaysia masuk ke negeri ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama dengan kesalahan di atas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia