Utusan Borneo (Sarawak)

Jenazah warden Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiya­h selamat dikebumi

-

TUMPAT: Jenazah warden yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Kuala Lumpur, selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tujoh, Pengkalan Kubor kira-kira jam 2.40 pagi semalam.

Jenazah Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25, yang meninggal dunia dalam kebakaran di pusat tahfiz pagi Khamis itu, tiba di rumah keluargany­a kira-kira pada 2 pagi.

Kira-kira 1,000 penduduk kampung dan kawasan sekitar turut menunggu ketibaan jenazah yang bertolak dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) lewat petang kelmarin selepas menjalani bedah siasat serta padanan DNA sebelum dimandi menggunaka­n kaedah tayamum, dikafan dan disolat di hospital tersebut bersama 22 jenazah yang lain.

Sejurus tiba, solat jenazah yang diimamkan bilal Masjid Kampung Tujoh, Ramli Senik turut diadakan di kediaman keluargany­a sebelum dikebumika­n di tanah perkuburan di kampung tersebut.

Turut kelihatan isteri Allahyarha­m, Noor Fatihah Osman, 23, anggota keluarga serta sanak saudara mangsa.

Allahyarha­m baharu sahaja melangsung­kan majlis persanding­an dengan Noor Fatihah minggu lepas selepas berkahwin pada September tahun lalu.

Upacara pengebumia­n Allahyarha­m yang mendapat bantuan Angkatan Pertahanan Awam ( APM) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Sementara itu, bapa mangsa, Sakarno Talib, 56, berkata beliau reda walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu serta turut mengucapka­n terima kasih kepada pihak yang mem- bantu menguruska­n jenazah anaknya sejak daripada hari pertama kejadian sehingga selesai majlis pengebumia­n.

Noor Fatihah bagaimanap­un enggan ditemu bual wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

Jenazah Allahyarha­m merupakan yang terakhir dikebumika­n dalam tragedi kebakaran tersebut. Kelmarin, 22 jenazah selamat dikebumika­n.

Sebelas jenazah dikebumika­n di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur,Empat jenazah dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, manakala empat lagi jenazah, masing-masing dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong; Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia